Kemalangan dengan kenderaan tidak dilindungi insurans, apa perlu anda lakukan?

PERNAHKAH anda berdepan dengan kemalangan dengan kereta yang tidak mempunyai insurans?

Andai bukan silap anda dan pemilik kenderaan yang mengakibatkan kemalangan tidak mahu membayar kerana tidak mengakui kesilapannya, ditambah lagi dengan kecederaan yang anda alami ,pasti membuat anda buntu.

"Sudahlah kereta rosak, cedera pulak tu takkan nak kena keluar duit sendiri"' bisik hati anda.

Seorang pengguna laman sosial, Wan Muhammad Najib berkongsi tips bagaimana anda ingin menyelesaikan masalah anda.



Menurutnya sebenarnya ramai yang tidak tahu kes sebegini boleh dituntut di bawah Motor Insurers Bureau (MIB).

Apakah Motor Insurer's Bureau?

MIB telah ditubuhkan pada 15/01/1968 daripada perjanjian yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, syarikat-syarikat insurans am Malaysia dan Biro itu sendiri.

Tujuannya adalah untuk memberikan bantuan wang kepada mangsa kemalangan jalan raya sama ada pemandu, penumpang atau pejalan kaki dalam kes kemalangan yang melibatkan kenderaan motor lain yang tidak mempunyai insurans.

MIB mendapat dana daripada syarikat insurans setiap tahun dimana semua syarikat insurans wajib mencarum ke dalam MIB.

Cara-cara untuk membuat tuntutan kepada MIB

1. Mengemukakan tuntutan secara terus kepada MIB atau melantik seorang peguam untuk berbuat demikian.

2. Kenal pasti nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. MIB tidak membayar untuk kes langgar lari yang mana anda tidak mengetahui nombor kenderaan tersebut.

3. Menyerahkan tuntutan anda dalam tempoh 3 tahun dari tarikh kemalangan.

4. Jika anda melantik peguam untuk memfailkan tuntutan di mahkamah, peguam perlu memberitahu MIB dalam tempoh 30 hari sebelum membuat tuntutan di mahkamah dan menyerahkan semua dokumen berkaitan.

5. MIB hanya akan membayar untuk kecederaan anda tidak termasuk kerosakan kepada kenderaan dan lain-lain.

6. Jumlah pembayaran mengikut budi bicara MIB.


Dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan

1. Surat kepada MIB yang mengandungi maklumat kejadian, sebab untuk tuntutan dan senarai dokumen yang disertakan.

2. Salinan laporan polis yang mengandungi nombor kenderaan.

3. Laporan polis kenderaan yang melanggar (jika ada).

4. Laporan perubatan.

Sebarang pertanyaan dan tuntutan boleh dikemukakan di:

Motor Insurers' Bureau of West Malaysia
Wisma PIAM
Ni.150-3, 3rd Floor
Jalan Tun Sambanthan, Brickfields
50782 Kuala Lumpur.

Tel: 03-22747395
Fax: 03-22745910

 — EdisiRakyat.com, 23 Mei 2017 

Post a Comment

Previous Post Next Post