SKMM keluar garis panduan untuk admin kumpulan WhatsApp dan media sosial

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan garis panduan terhadap pentadbir kumpulan WhatsApp dan semua media sosial melalui laman sesawang rasminya.

Garis panduan itu menekankan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai pentadbir sesebuah kumpulan media sosial. Suruhanjaya itu turut meminta semua pentadbir kumpulan mematuhi garis panduan tersebut.

Panduan berbentuk peringatan yang dikeluarkan melalui laman web SKMM itu turut meminta pentadbir memaklumkan kepada ahli kumpulan sebab utama sesebuah kumpulan diwujudkan dan memikirkan sama ada keperluan asas yang perlu diadakan. 



Pentadbir juga perlu prihatin dengan peraturan dan syarat rasmi yang telah sedia ada disediakan oleh penyedia platform seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.

"Mereka perlulah menegur komen untuk memastikan perbincangan berada di landasan yang betul. Perlu menyemak komen atau posting dengan menyediakan seorang moderator sekiranya boleh," kata SKMM.

Pentadbir boleh mempertimbangkan atau menyekat mereka yang membuat komen atau posting jelik dan memberi kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang yang menjalankan penyiasatan.

Seseorang pentadbir kumpulan itu perlu aktif dan tidak dibenarkan melanggar standard yang ditetapkan oleh penyedia platform dan tidak boleh menggalak, menghasut atau membiarkan sebarang komen yang jelik.

Pentadbir juga tidak patut membenarkan perbincangan keluar daripada topik perbincangan.

Selain itu pentadbir juga tidak boleh takut untuk bertegas dengan tindakan trol atau individu yang secara berterusan melanggar peraturan asas. — EdisiRakyat.com, 4 Mei 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post