Ads Top

SPRM tahan ahli jawatankuasa masjid jual tanah wakaf kepada bukan Islam

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menahan dua orang ahli jawatankuasa tertinggi Masjid Al-Hamideen Melaka kerana dipercayai terlibat dengan kes rasuah membabitkan penjualan tanah wakaf kepada individu bukan Islam.


Rasuah yang membabitkan wang sejumlah RM116,000 itu dilaporkan berlaku ketika kedua-dua suspek memegang jawatan sebagai pengerusi dan setiausaha masjid berkenaan.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, The Star melaporkan suspek berusia 61 dan 46 tahun itu dikatakan telah menerima rasuah bagi melupuskan sebidang tanah wakaf milik masjid yang terletak di Kampung Bukit Cina untuk dijual kepada seorang individu bukan Islam.

Menurut undang-undang, orang bukan Islam tidak dibenarkan untuk memiliki tanah wakaf seperti itu yang terletak di kawasan perdana.

Kedua-dua suspek dilaporkan telah dipanggil bagi membolehkan kenyataan mereka dirakamkan di pejabat SPRM Melaka pada hari Selasa sekitar jam 7:00 malam.

Susulan itu mereka telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan. 

Ketua Pengarah bahagian siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan penangkapan itu sambil memaklumkan bahawa kedua-dia suspek akan ditahan semalaman di Pejabat SPRM sebelum dibawa ke mahkamah pada hari Rabu untuk mendapatkan perintah reman.

Siasatan awal mendapati bahawa kesalahan rasuah tersebut telah berlaku dalam tahun 2012.

Kedua-dia suspek dikatakan telah menerima rasuah dan bertindak melupuskan tanah tersebut yang diletakkan di bawah kawalan mereka sebagai pegawai paling senior di masjid berkenaan bagi memperolehi keuntungan peribadi. — EdisiRakyat.com, 2 Mei 2017

No comments:

Powered by Blogger.