Ads Top

TMJ tidak setuju lawan bola sepak di Pyongyang

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju untuk membenarkan pasukan kebangsaan bermain bola sepak menentang pasukan Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun ini atas faktor keselamatan.



Tunku Mahkota Johor itu dipetik sebagai berkata keselamatan rakyat Malaysia patut didahulukan.

Beliau bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Khairy Jamaluddin untuk memutuskan sama ada Pasukan Harimau Malaya perlu menyertai pertandingan kelayakan Piala Asia, Kumpulan B menentang Korea Utara di Pyongyang.

Dua hari lalu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), telah membuat keputusan untuk menyertai perlawanan itu seperti yang dijadualkan di Pyongyang berikutan tiada sekatan perjalanan daripada kerajaan Malaysia.

FAM boleh disekat untuk bertanding dan didenda oleh AFC jika membuat keputusan untuk tidak bertanding dan ini meletakkan FAM di situasi yang sukar.

Korea Utara sepatutnya menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan B di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lalu.

Tetapi FAM telah meminta AFC kebenaran untuk perlawanan diadakan di gelanggang berkecuali berikutan krisis diplomatik yang disebabkan oleh kematian Kim Jong-nam, saudara tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu.

Terdahulu, Kim Jong Nam dikatakan dibunuh menggunakan ejen saraf VX, sejenis bahan kimia yang disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai senjata pemusnah besar-besaran.— EdisiRakyat.com, 11 Mei 2017

No comments:

Powered by Blogger.