Azizul Ammar didakwa di mahkamah kerana menghina Watson Nyambek

BEKAS pengacara program TV Azizul Ammar telah didakwa di Mahkamah Majistret Sibu hari ini kerana menghina mendiang bapa pelari pecut negara Watson Nyambek dalam satu rancangan yang diacarakan.

Azizul Ammar, 30 atau terkenal dengan gelaran Ammar Titan dari Segambut Kuala Lumpur didakwa Mengikut seksyen 504 Kanun keseksaan kerana melakukan penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mengganggu keamanan.

Produser program, Abdul Ghani Mohd. Mokhtar, 41, turut didakwa atas kesalahan yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.



Majistret Saiful Sayuti membebaskan kedua-duanya dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Beliau mengarahkan mereka untuk hadir ke mahkamah pada 4 Julai untuk pra-perbicaraan.

Terdahulu, Azizul didakwa meniru bunyi kambing ketika menyebut nama "Nyambek", iaitu nama akhir Watson semasa rancangan komedi Sukan Tak Sentral yang disiarkan di TV3.

Sedutan rancangan itu kemudian tular di laman sosial di mana menjadi perbualan hangat netizen yang mengecam Ammar kerana tidak sensitif.

Perkara itu menimbulkan kemarahan Watson Nyambek yang akhirnya membuat laporan polis pada 24 April terhadap Azizul menggesa pihak polis menyiasat motif di sebalik penghinaan itu.

Menyedari kesilapannya, Azizul bertindak membuat permohonan maaf bersama delegasi Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dalam satu mesyuarat tertutup bersama beberapa krew produksi program.

Namun permohonan maaf itu ditolak oleh bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu selepas rancangan television terbabit seperti seolah-olah menyamakan bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu dengan 'binatang'.

Azizul Ammar dan beberapa krew yang terlibat juga digantung bekerja dalam tempoh yang tidak diketahui.— EdisiRakyat.com, 6 Jun 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post