Ads Top

Lima cara mudah bantu anda bebas hutang

MENYEBUT tentang hutang pasti membuat setiap individu merasa terbeban.

Tuntutan hidup dan keadaan yang mendesak kadang-kala menuntut anda meminjam wang daripada orang lain ataupun membeli sesuatu barang keperluan secara ansuran.

Tiada siapa pun mengimpikan hidup dibebani hutang. Pelbagai cara dilakukan untuk bebas dari hutang. Ada yang sanggup melakukan pelbagai kerja sekaligus agar tuntutan hidup dapat dipenuhi dengan sebaiknya tanpa berhutang.

Ada pelbagai cara lain yang boleh anda lakukan untuk hidup bebas dari hutang, antaranya:


1. Tetapkan satu jangka masa untuk melangsaikan sesuatu hutang

Salah satu cara untuk anda pastikan diri anda bebas dari hutang adalah menetapkan suatu jangka masa untuk melangsaikan sesuatu hutang dan pastikan anda mengikut perjanjian yang ditetapkan jika ada.



Pastikan anda berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu agar tiada baki hutang tertunggak yang akan lebih memberatkan anda di masa hadapan.

Ini juga bagi mengelakkan anda dikenakan caj tambahan jika melewatkan pembayaran hutang yang kebiasaan dikenakan oleh syarikat-syarikat tertentu dalam perjanjian.


2. Tetapkan bajet secara disiplin

Sebaiknya anda perlu tahu bagaimana untuk mengawal keluar masuk wang anda.

Tetapkan bajet agar perbelanjaan anda tidak melebihi wang yang anda terima setiap bulan dan pastikan anda menetapkan suatu bajet untuk urusan pembayaran.

Anda haruslah disiplin dengan ketetapan bajet yang telah anda sediakan dan elakkan berbelanja untuk perkara yang tidak berfaedah.

Pastikan anda tahu membezakan antara keperluan dan kehendak agar wang anda tidak terbazir begitu sahaja dan mempunyai lebihan wang untuk membayar hutang.


3. Konsisten dalam membuat simpanan untuk persaraan

Pastikan anda konsisten untuk menyimpan wang bulanan untuk kegunaan semasa kecemasan atau pun tabungan untuk hari tua agar mempunyai wang yang cukup tanpa memerlukan anda berhutang dengan orang lain.

Gunakan wang KWSP untuk perkara yang benar-benar penting agar wang tersimpan yang sepatutnya dapat digunakan apabila anda sudah tidak bekerja tidak digunakan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah contohnya majlis perkahwinan dengan belanja yang berlebih-lebihan.


4. Menyediakan pelan simpanan

Tidak kira sama ada ia simpanan tetap ataupun semasa, adalah perlu untuk anda menyediakan satu pelan simpanan yang memberi faedah kepada anda untuk masa sekarang dan masa hadapan.

Adalah terbaik mencari satu pelan simpanan tetap yang mana faedah yang ditawarkan juga lebih tinggi dan membuatkan anda konsisten untuk menyimpan.

Simpanan tetap, atau lebih dikenali sebagai "FD" (untuk fixed deposit) di Malaysia, ialah sejenis simpanan di bank atau akaun pelaburan yang menjanjikan pelabur satu kadar faedah yang tetap.

Sebagai balasan, pelabur bersetuju untuk tidak mengeluarkan dananya dalam jangka masa yang ditetapkan.


5. Pelaburan

Kini terdapat pelbagai jenis pelaburan yang ditawarkan yang banyak memberi manfaat kepada kita.

Antaranya adalah pelaburan ASB yang mana dia hanya terbuka kepada golongan Bumiputera, public mutual, pelaburan emas dan macam-macam lagi.

Lakukan sedikit penyelidikan dan melaburlah dengan berilmu. Jangan terlalu gairah untuk membuat pelaburan tanpa anda ketahui tujuan mahupun matlamat sesebuah syarikat yang akhirnya membuatkan anda kerugian dan tertipu seperti skim cepat kaya dan lain-lain.

Pastikan anda mencari pelaburan yang benar-benar selamat dan menguntungkan untuk masa sekarang dan masa hadapan.

Hasilnya nanti pasti boleh digunakan untuk melangsaikan hutang sekaligus menjadikan anda bebas dari belenggu hutang. — EdisiRakyat.com, 4 Jun 2017

No comments:

Powered by Blogger.