Ads Top

Remaja ceritakan detik cemas dipukul sekumpulan lelaki sebelum sempat larikan diri

SUSULAN kes buli yang mengakibatkan seorang remaja, T. Nhaveen kini koma dan sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang, rakannya T. Previin tampil menceritakan detik-detik kejadian.

Menurut sumber, T. Preevin, 19 dipetik sebagai berkata, ketika kejadian dia baru selesai makan bersama T.Nhaveen di sebuah gerai Berger di Bukit Gelugor dan baru hendak beredar ketika dihampiri oleh dua orang lelaki.

Mereka mula mengusik dan mengejek Nhaveen menyebabkan Previin berhadapan dengan mereka dan bertanya mengapa mereka mengusik Nhaveen.



"Saya mengangkat tangan, seolah-olah mahu menampar salah seorang dari mereka, tapi tidak melakukannya.

Perbuatan saya itu mungkin menimbulkan kemarahan mereka", tambahnya lagi.

Menurutnya lagi," salah seorang dari mereka kelihatan membuat panggilan telefon dan tidak lama kemudian datang sekumpulan remaja menaiki motosikal.

Mereka mula memukul saya dan Nhaveen dengan menggunakan topi keledar dan tangan, tetapi Nhaveen tidak melawan.

Dalam pergelutan itu, saya berjaya melarikan diri dan segera ke rumah Nhaveen. Saya kemudian menceritakan kejadian yang berlaku kepada bapa saudara Nhaveen."

Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kepada Nhaveen selepas itu.

Tidak lama kemudian, Nhaveen ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Hasil pemeriksaan doktor mendapati Nhaveen koma dan otaknya telah mati. Dia turut didakwa diliwat dengan objek tumpul yang tidak dapat dipastikan dan melecur di bahagian belakang badan.

Akibat serangan itu, Previin juga kini dirawat di hospital dan mengalami kecederaan teruk di wajah selain mengalami pembengkakan di mata serta dijangkakan akan menjalani pembedahan esok.



Ketika ditemui di hospital, Previin kelihatan sedih dan berharap Nhaveen akan pulih.

Dia menyifatkan sahabatnya yang dikenali sejak sekolah rendah itu sebagai seorang yang berperwatakan lembut.

Dia juga mengatakan bahawa Nhaveen selalu mengadu bahawa dia kerap dibuli oleh seorang bekas rakan sekolahnya dan beberapa orang yang lain.

Mereka dikatakan kerap memarahinya dengan kata-kata yang tidak elok tetapi Nhaveen malas melayan mereka dan sentiasa mengelakkan daripada pergaduhan.

Ibu Nhaveen yang ditemui di hospital kelihatan pucat dan masih sedih dengan keadaan anaknya serta enggan ditemubual.





Ibu saudara Nhaveen , G. Premalatha ketika ditemubual dipetik sebagai berkata bahawa keluarga mereka mengharapkan yang terbaik dan meminta orang ramai turut mendoakan Nhaveen sembuh.— EdisiRakyat.com, 14 Jun 2017





1 comment:

  1. Penulis, kejadian berlaku di Gelugor, bukan Tasik Gelugor. Harap maklum

    ReplyDelete

Powered by Blogger.