Enam suspek bakar tahfiz dibuang sekolah kerana masaalah disiplin

TUJUH suspek yang ditangkap kerana membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebelum ini pernah bersekolah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya suspek-suspek yang berusia antara 11 dan 18 tahun itu telah dibuang sekolah kerana masaalah disiplin.

"Suspek-suspek ini banyak hari tidak hadir ke sekolah. Disebabkan ini, tindakan disiplin telah diambil oleh pihak sekolah dengan membuang mereka," kenyataan Mahdzir dipetik ketika pelancaran kempen "Sayangi diri, jauhi dadah," di SMK Seri Saujana hari ini.



"Para guru telah mengambil langkah memujuk suspek-suspek untuk datang ke sekolah. Namun, selepas datang ke sekolah beberapa hari, mereka mula ponteng lagi,"

"Contohnya suspek yang berusia 16 tahun, hanya bersekolah sampai tingkatan 1 pada 2012. Kebanyakan mereka hanya hadir di awal sekolah menengah. Paling akhir dibuang aekolah tahun 2016."

Menurutnya lagi, sebab mereka dibuang daripada sekolah ialah kerana mereka tidak hadir ke sekolah dalam satu jangka masa yang berlanjutan. Jumlah tahun mereka bersekolah hanya 1 hingga 5 tahun.

Difahamkan tiga daripada suspek sebelum ini bersekolah di SMK Sri Ampang, dua di SMK Padang Tembak manakala bakinya masing-masing dari SK Dato' Keramat 1 dan SK Dato' Keramat 2.

Bagaimanapun, suspek yang berusia 18 tahun berjaya menghabiskan persekolahan dan melanjutkan pelajaran di Giat Mara. Namun dia dilaporkan telah meninggalkan pusat latihan itu.

Pada 16 September, polis Kuala Lumpur telah menahan 7 remaja berhubung kebakaran sebuah pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat yang berpunca dari insiden ejek-mengejek antara kumpulan remaja itu dan pelajar sekolah tahfiz berkenaan.

Suspek-suspek dikenal pasti oleh pihak polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi daripada bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan dengan tahfiz tersebut.

Ujian air kencing yang dilakukan ke atas kesemua suspek mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ganja dan mereka berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah itu. - EdisiRakyat.com, 18 September 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post