Mayat Penganut Hindu dikebumi di Tanah Perkuburan Islam

MAYAT seorang warga emas beragama Hindu, didakwa telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam oleh jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Portal Free Malaysia Today (FMT) memetik China Press yang melaporkan bahawa Mahat Sulaiman, 76 yang berketurunan Baba Nyonya, telah meninggal dunia pada jam 2.31 pagi pada 9 September lalu di Hospital Tunku Jaafar, Seremban.

Ketika Roseli Mahat, 44 anak kepada si mati mahu mengambil mayat bapanya, beliau diberitahu bahawa pihak hospital sudah memaklumkan Jabatan Agama Islam supaya menunggu pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkenaan status agama sebelum mayatnya boleh diuruskan. Ini kerana nama warga emas itu mempunyai "bin".

Beliau kemudian telah menghubungi Jabatan Agama Islam bagi memaklumkan bahawa bapanya seorang penganut Hindu. Namun pihak berkaitan memintanya menunggu sehingga hari bekerja pada Isnin untuk menguruskan perkara itu.

Adiknya ketika menunggu di hospital pada jam 10 pagi hari Sabtu lalu, memberitahu bahawa sekumpulan pegawai dipercayai dari Jabatan Agama Islam bersama polis telah pergi ke hospital dan berkeras membawa mayat bapanya.

Ketika beliau tiba di hospital untuk mengetahui lebih lanjut berhubung perkara itu, mayat bapanya sudah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sikamat Seremban.



Menurutnya, JPN dalam surat daftar kematian yang dikeluarkan pada 9 September lalu membiarkan ruangan agama dan bangsa dikosongkan.

Dua hari kemudian ruangan agama dalam sijil kematian Mahat, tertera "maklumat tidak diperolehi" manakala bangsanya pula ditulis sebagai Cina.

Satu kebakaran yang berlaku 35 tahun dahulu yang memusnahkan dokumen pengenalan ahli keluarganya, dakwa Roseli punca terdapatnya "bin" dalam dokumen pengenalan diri mereka.

Dakwanya sebelum ini nama ahli keluarganya tidak mempunyai "bin", pihak JPN meletakkan "bin" pada dokumen kesemua ahli keluarganya kerana nama mereka mempunyai ciri-ciri Islam.

"Ketika itu, bapa saya memaklumkan kami berketurunan Baba Nyonya, bukannya Islam. Pegawai JPN mengatakan nama mempunyai 'bin' tidak semestinya beragama islam Kerana semuanya akan ditentukan mengikut agama,"

"Jadi, bapa saya tidak memanjangkan perkara itu, namun tak sangka hari ini timbul masalah agama,"

Selama ini katanya, keluarganya tidak menggunakan nama Cina mereka, tapi datuknya yang berasal dari China dikebumikan di tanah perkuburan Cina Batu Berendam di Melaka.

"Sejak dari kecil bapa saya hidup sebagai seorang penganut Hindu dan tidak pernah mengikuti ajaran atau pantang larang Islam,"

"Ahli keluarga kami makan daging babi, malah ketika saya berkahwin, bapa saya mengadakan majlis mengikut adat resam Hindu," katanya. — EdisiRakyat.com, 21 September 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post