Ads Top

SPRM tahan setiausaha politik Menteri Sumber Manusia berhubung rasuah RM40 juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor telah menahan seorang setiausaha politik kepada Menteri sumber manusia berhubung siasatan kes penyelewengan dana kerajaan.

Lelaki berusia 61 tahun yang juga berpangkat datuk, telah ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari hari ini untuk dirakam percakapannya.

Lelaki itu dilapor merupakan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dari cawangan Serian.

Penangkapan itu telah disahkan oleh Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Siasatan melibatkan penyelewengan dana yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Lelaki berkenaan dilapor sebagai individu kelima ditahan berhubung kes berkenaan. 4 lagi individu telah ditahan awal bulan ini di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.



Empat lagi yang ditahan sebelum ini ialah seorang datuk berusia 58 tahun yang juga merupakan ketua eksekutif PTPK, setiausaha PTPK berusia 34 tahun, pembantu pegawai kewangan PTPK berusia 32 tahun dan seorang pengarah syarikat berusia 38 tahun.

Adalah dipercayai bahawa mereka telah membantu pengarah di dalam melakukan penyelewengan dana berjumlah RM40 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan di antara 2016 dan 2017, bagi menyediakan program-program latihan kemahiran kepada golongan penganggur.

Siasatan awal mendapati mereka telah menyalahgunakan sejumlah RM15 juta dalam tahun 2016, dan RM25 juta tahun ini.

PTPK telah ditubuhkan dalam bulan Jun 2006 di bawah Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) bagi menguruskan Tabung Pembangunan Kemahiran, yang mana sebelum ini diuruskan oleh bahagian Tabung Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia. — EdisiRakyat.com, 27 September 2017

No comments:

Powered by Blogger.