Anggota Polis wanita direman terima rasuah dari penagih dadah

TERNYATA jenayah rasuah tidak mengenal jantina. Seorang anggota polis wanita direman selama tiga hari bermula hari ini selepas didakwa meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,200 dari seorang penagih dadah.

Perintah reman dikenakan terhadap anggota polis wanita berpangkat sarjan itu dilapor dikeluarkan oleh Hakim Majistret Rahimah Rahim, di Mahkamah Khas Reman, di Seremban pagi tadi selepas menerima permohonan reman daripada Mohd Khairi Abdul Karim, pegawai Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anggota polis yang bertugas di bahagian narkotik ibu pejabat Polis Daerah Jelebu Negeri Sembilan itu ditahan selepas meminta suapan daripada seorang penagih dadah bagi mengelakan kesnya daripada dibawa ke mahkamah kata jurucakap SPRM.

Pada awalnya penagih dadah itu diminta untuk memberikan rasuah sebanyak RM1,300, namun selepas rundingan mereka mencapai kata sepakat untuk menurunkan jumlahnya kepada RM1,200.

Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.



Suspek ditahan oleh sekumpulan pegawai SPRM di dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina miliknya pada pukul 3 petang semalam sebaik sahaja menerima rasuah. Wang bukti rasuah berjumlah RM1,200 turut dijumpai dalam kenderaan itu. — EdisiRakyat.com, 21 Oktober 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post