Kelahiran secara paksa (induce labour), mengapa ia berlaku, bagaimana dan sakitkah ia?

DALAM keghairahan menantikan kehadiran si comel anda, pastinya ada sesetengah ibu hamil yang terpaksa berhadapan risiko melahirkan secara paksa (induce labour) atas faktor keselamatan ibu dan bayi.

Kehamilan yang dianggap matang atau cukup bulan apabila ia berada antara 37 hingga 42 minggu dan kebiasaannya ramai ibu yang melahirkan ketika kandungan berusia 40 minggu.

Kelahiran secara paksa akan dilakukan apabila ada sesuatu keadaan yang mengancam nyawa ibu dan janin. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui umur kandungan sebelum kelahiran paksa dilakukan.






Apakah keadaan yang menyebabkan kelahiran paksa

Kelahiran secara paksa biasanya dilakukan apabila kesihatan berisiko tinggi dan nyawa ibu terancam sekiranya kehamilan diteruskan.

Ia disebabkan ibu mengalami beberapa penyakit atau komplikasi semasa hamil iaitu:

1. Penyakit darah tinggi




2. Penyakit kencing manis
3. Kesihatan janin di dalam rahim terancam
4. Bayi membuang air besar di dalam perut

Jika kesihatan janin terancam ,adalah lebib baik dipercepatkan kelahiran kerana akan menyebabkan bayi boleh terkorban sekiranya kehamilan diteruskan.


Beberapa keadaan yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan janin ialah:

1. Penyakit darah tinggi yang rumit
2. Penyakit kencing manis
3. Gangguan pertumbuhan janin
4. Kehamilan yang melebihi bulan (overdue)
5. Kebocoran/kekurangan air ketuban

Bilakah kelahiran paksa dilakukan?

Sebelum prosedur kelahiran paksa dilakukan, doktor akan mengenalpasti umur kandungan dahulu. Kelahiran paksa biasanya dilakukan setelah kehamilan mencapai peringkat 38 hingga 40 minggu.

Jika umur kandungan tidak diketahui, doktor akan membuat ujian ultrasound untuk mengenal pasti usia kandungan.

Pada keadaan yang tertentu ketika kelahiran perlu dipercepatkan sebelum usia kandungan mencapai 37 minggu, terlebih dahulu kematangan paru-paru janin dikenalpasti.

Bayi perlu dipastikan kematangan paru-parunya untuk mengelakkan masalah pernafasan selepas dilahirkan.

Biasanya, janin akan disuntik dengan ubat mematangkan paru-paru jika kelahiran paksa perlu dilakukan sebelum usia kandungan mencapai usia 37 minggu.

Kelahiran secara paksa boleh dilakukan pada waktu siang ataupun malam. Biasanya doktor lebih gemar melakukan prosuder kelahiran secara paksa pada sebelah pagi kerana pengawasan yang rapi dapat dilakukan terhadap ibu dan bayi.


Bagaimanakah prosedur atau proses kelahiran paksa dilakukan?

1. Doktor akan menerangkan kepada pesakit mengapa kelahiran paksa dilakukan.

2. Umur kandungan terlebih dahulu akan ditentukan dengan Ujian ultrasound.

Pada waktu ini ,doktor akan memastikan tiada faktor yang menghalang kelahiran secara paksa seperti:.

i) kedudukan bayi songsang
ii) halangan pada saluran beranak
iii) pernah dibedah secara cesarean melebihi dua kali
IV) pernah menjalani pembedahan faraj dan pangkal rahim
v) keadaan pangkal rahim yang tidak sesuai (unfavourable cervix) dimana dalam keadaan ini doktor akan memilih untuk ibu melahirkan secara sesarean (pembedahan).

3. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad.

4. Ubat untuk kelahiran secara paksa iaitu oksitosin diberikan melalui saluran darah atau lebih dikenali sebagai drip.

Dose ubat oksitosin akan ditingkatkan sehingga penguncupan rahim yang baik dicapai, iaitu satu penguncupan rahim contraction tiap-tiap 2 minit selama 45 saat.

5. Doktor kemudiannya akan memecahkan selaput ketuban.

6. Pengawasan yang rapi akan dilakukan sepanjang masa proses kelahiran paksa.

7. Perkembangan proses kelahiran akan diawasi dari semasa ke semasa.

8. Doktor Biasanya akan memberikan ubat penahan sakit untuk mengurangkan sakit bersalin.

9. Pesakit akan melahirkan apabila tiba masanya.


Adakah bersalin secara paksa lebih menyakitkan?

Sama ada kelahiran itu berlaku secara spontan atau secara paksa, wanita tidak dapat melarikan diri daripada sakit bersalin.

Ada sesetengah wanita mengalami kesakitan yang lebih kuat akibat kelahiran paksa (induce labour).

Pengalaman yang dikongsi ibu yang pernah melahirkan secara induksi ini yang membuat ramai wanita berasa takut apabila kelahiran secara paksa diperlukan.

Untuk mengurangkan masalah sakit bersalin semasa kelahiran secara paksa, biasanya ubat penahan sakit akan diberikan.

Jenis-jenis penawar sakit bersalin adalah seperti suntikan ubat pethidine, sedutan gas entonox, atau bius setempat iaitu epidural.




Oleh itu ibu hamil janganlah berasa takut dan risau apabila kelahiran induksi diperlukan.

Semoga ibu-ibu yang perlu melalui pengalaman ini dipermudahkan urusannya dan melahirkan dengan selamat.— EdisiRakyat.com, 30 Oktober 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post