Lelaki larikan RM600,000 duit bank didakwa di mahkamah

SEORANG lelaki yang juga merupakan seorang penganggur dilaporkan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jalan Duta semalam atas tuduhan mencuri di cawangan sebuah bank di Damansara.

Kartik Rajandaran, 28 mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan yang didakwa dilakukannya diantara jam 1:00 hingga 2:00 petang pada 8 September lalu.

Dia juga minta dibicarakan untuk tuduhan-tuduhan serupa yang melibatkan 6 kes kecurian di syarikat-syarikat swasta, termasuk sebuah syarikat guaman dan sebuah syarikat pembinaan dalam kejadian berasingan.

Kesemua tuduhan dikenakan terhadapnya di bawah peruntukan Kanun keseksaan, di mana tuduhan mencuri di bawah Seksyen 380 dan tuduhan menceroboh di bawah tiga klausa iaitu Seksyen 447, 448, dan 459.

Difahamkan Kartik tiba di mahkamah Jalan Duta pada jam 10 pagi sebelum dibawa ke dalam tiga bilik-bilik perbicaraan berasingan bagi menghadapi tuduhan-tuduhan tersebut yang kesemuanya dikendalikan oleh Balai Polis Brickfields.

Mahkamah menetapkan tarikh 29 November untuk sebutan kes, dan membenarkan ikat jamin tertuduh berjumlah RM40,000 untuk kesemua tuduhan.

Difahamkan juga ibu bapanya lewat membayar wang jaminan berkenaan petang semalam.

Bagaimanapun tertuduh dilapor telah ditangkap semula sebaik sahaja dibebaskan di mahkamah berkenaan pada jam 5:30 petang oleh polis Johor untuk siasatan berhubung kes-kes lain berkaitan kecurian dan pencerobohan yang didakwa dilakukannya di Johor.

Tertuduh sebelum ini ditahan di Melaka pada 4 Oktober oleh sekumpulan pasukan polis dari Brickfields yang diketuai oleh ASP Mohd Hafizi Ishak dan dia direman sejak hari itu.

Sebaik sahaja siasatan diselesaikan oleh polis Brickfields, dia telah ditahan semula oleh polis Petaling Jaya, dan seterusnya oleh polis Serdang kerana kes-kes berkaitan kecurian.

Lebih dari 40 laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh pengadu-pengadu yang mendakwa menjadi mangsa tuduh sebaik sahaja pihak polis menyiarkan gambarnya di media pada 18 September berikutan kes kecurian di bank.



Menurut sumber, Polis Melaka juga mahu menahan lelaki berkenaan untuk menjalankan siasatan ke atasnya berhubung beberapa kes kecurian. — EdisiRakyat.com, 25 Oktober 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post