Ads Top

Pemandu teksi kenakan tambang RM950 berjaya diberkas

SEORANG pemandu teksi yang dilapor mengenakan tambang sebanyak RM950 kepada dua penumpang warga Bangladesh untuk perjalanan sejauh hanya 10km dari KL Sentral ke Setapak, telah berjaya diberkas.

Berdasarkan satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, pasukan khasnya mengenali dan telah menahan pemandu tersebut, yang berusia lingkungan 30-an, pada hari Khamis lalu (5 Oktober) berdasarkan laporan polis yang dibuat pada 18 September.

"Kami telah mengarahkan pemandu berkenaan dan pengendali teksi memberi keterangan di pejabat kami. Teksi yang digunakan juga telah dirampas bagi membantu siasatan."

"Pemandu berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 75 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, dan sekiranya sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih dari RM50,000 atau hukuman penjara untuk satu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya,"



Tambahnya lagi pengendali teksi pula kini disiasat di bawah Seksyen 22 akta yang sama dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda sekurang-kurangnya RM1,000 namun tidak melebihi RM500,000, atau berdepan hukuman penjara untuk satu tempoh tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya.

Sebelum ini EdisiRakyat.com pada 6 Oktober 2017 melaporkan — dua mangsa yang baru tiba di Kuala Lumpur selepas menaiki bas dari Kuala Terengganu, dipaksa membayar tambang RM950 untuk perjalanan teksi hanya sejauh 10km.

Pemandu teksi kenakan tambang RM950 dari KL ke Setapak

Pemandu teksi berkenaan pada mulanya menawarkan tambang pada kadar RM50 untuk setiap orang, namun dia mengubah fikiran selepas penumpang sampai ke destinasi.

Berlaku sedikit pertengkaran, namun mangsa mengalah akibat bimbang dicederakan, kerana pemandu teksi berkenaan memiliki 1 batang kayu dan besi di dalam keretanya. EdisiRakyat.com, 8 Oktober 2017

No comments:

Powered by Blogger.