Ads Top

Anggota polis samun guna senjata api milik PDRM ditahan

PENEMUAN dompet milik salah seorang suspek kes samun bersenjata yang berlaku semalam membawa kepada penahanan tiga anggota polis yang dipercayai terlibat dengan kejadian jenayah itu.

Menurut sumber pihak polis yang dipetik oleh Harian Metro, siasatan awal mendapati salah seorang anggota polis yang ditahan pernah terlibat dalam kes dadah, dan mereka dipercayai menggunakan senjata api milik PDRM dalam kejadian samun itu.
"Siasatan awal seorang anggota polis ditahan pernah positif dadah dan kami percaya mereka menggunakan senjata api milik Polis Diraja Malaysia," sumber itu dipetik.
Polis daerah Kuantan dilapor telah mengesahkan penahanan mereka yang berumur antara 25 hingga 30 tahun dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api.

Dua orang suspek dilaporkan bertugas di cawangan trafik IPD Kuantan, manakala seorang lagi di cawangan gerakan IPK Pahang.

IPK Pahang

Dalam kejadian tembak dan samun yang berlaku di rumah ahli perniagaan di Jaya Gading, semalam tiga suspek melakukan samun bersenjata dengan memecah masuk rumah melalui pintu depan menggunakan pengumpil besi.

Salah seorang suspek telah melepaskan tembakan dan terkena leher mangsa yang pada ketika itu terserempak dengan mereka. — EdisiRakyat.com, 26 November 2017
Powered by Blogger.