Ads Top

Uber dan NASA bina aplikasi untuk kawal teksi terbang

PENYEDIA perkhidmatan teksi e-hailing, Uber dilaporkan telah menandatangani kontrak bersama Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) untuk membangunkan aplikasi bagi mengawal "teksi terbang".

Tindakan itu dilakukan sebagai satu lagi langkah ke hadapan di dalam menjadikan rancangan Uber untuk menguji teksi terbang berkuasa elektrik seperti 'drone' di Los Angeles pada tahun 2020 satu realiti.

Syarikat itu menyasarkan untuk membangunkan aplikasi bagi mengawal laluan "teksi terbang" yang bakal berfungsi seperti perkhidmatan e-hailing yang sudah di popularkannya di atas darat lapor sumber berita reuters.

Ketua Pegawai Produk Uber, Jeff Holden berkata, syarikat itu akan memulakan percubaan dengan cadangan "teksi terbang" memuatkan 4 penumpang, berkelajuan 200 batu sejam (322 km sejam) di seluruh Los Angeles dalam tahun 2020, sebelum mengembangkannya ke Dallas, Amerika Syarikat.



Holden mengumumkan rancangan teksi terbang itu dalam Web Summit, sebuah persidangan internet di Lisbon. Beliau mendedahkan bahawa Uber kini sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa penerbangan untuk memperkenalkan perkhidmatan itu.

NASA dalam satu kenyataan mengesahkan telah menandatangani satu perjanjian umum pada bulan Januari lalu bersama Uber yang membolehkan syarikat itu menyertai pelbagai rakan industri yang bekerjasama dengan NASA untuk membangunkan sistem pengurusan lalu lintas udara tanpa pemandu.

Perjanjian itu membolehkan Uber untuk terlibat dalam fasa 4 projek berkenaan, yang dijadualkan akan bermula pada bulan Mac 2019.

Fasa 1 telah disiapkan dalam tahun 2015 — Melibatkan ujian lapangan dan ujian berterusan penggunaan dron di tapak Agensi Pengurusan Penerbangan Persekutuan AS (FAA) dalam pertanian, memadam kebakaran, dan memantau sistem saluran paip.

Fasa 2 yang dimulakan dalam tahun 2016 pula dianggap sebagai penggunaan jarak jauh dalam kawasan berpopulasi rendah. Manakala Fasa 3 — dalam tahun 2018 akan menguji perkhidmatan di kawasan berpopulasi sederhana, yang membawa kepada fasa 4 — ujian di kawasan bandar raya yang mempunyai populasi tinggi pada tahun 2019. — EdisiRakyat.com, 9 November 2017

No comments:

Powered by Blogger.