Wira Lahad Datu ditahan kerana positif syabu dan ecstacy

SEORANG anggota polis yang sebelum ini dilihat berjuang di Lahad Datu Sabah empat tahun lalu dan kemudiannya menjadi wira negara, ditahan kerana disyaki menyalahgunakan dadah jenis syabu dan ecstacy.

Sarjan berusia 42 tahun itu yang bertugas dengan unit komando elit VAT 69, disahkan positif dadah berdasarkan ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya oleh jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, (JSJN) Balai Polis Ipoh.

Malay Mail memetik sumber berkata, sepasukan anggota polis dari JSJN Ipoh bertindak atas maklumat yang diterima, telah pergi ke markas VAT 69 di Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am di Ulu Kinta Perak pada hari Rabu.

"Saringan awal ujian air kencing suspek mendapati positif penyalahgunaan methaphetamine (syabu) dan amphetamine (ecstacy),"

Ops Daulat
Tun Mahathir bergambar bersama anggota keselamatan ketika Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah

"Suspek kemudiannya telah ditangkap. Spesimen air kencingnya akan dihantar untuk menjalani ujian patologi di Hospital Kuala Lumpur," sumber itu dipetik.

Sekitar empat tahun lalu, suspek yang ketika itu berpangkat koperal dengan unit komando VAT 69, terlibat dalam operasi pemberontakan di Lahad Datu. Dia dilihat berjuang di Kampung Tanduo ketika Ops Daulat dan cedera dalam satu pertempuran bersenjata.

Ops Daulat adalah operasi pihak keselamatan untuk membanteras pengganas dari Selatan Filipina yang menceroboh masuk Timur Negeri Sabah dalam bulan Februari 2013.

Difahamkan suspek yang telah bertugas dalam pasukan polis selama 20 tahun mempunyai masalah disiplin dan ujian air kencing dijalankan ke atasnya merupakan permintaan pegawai atasannya.

Sumber memaklumkan suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat polis Ipoh untuk siasatan lanjut. — EdisiRakyat.com, 25 November 2017

1 Comments

  1. salam nk bertanya pada pngarang cik Insyirah binti Yusuf berkaitan berita WIRA LAHAD DATU DITAHAN KETANA POSIT SYABU DAN ECSTACY. dimana dan dr mana ye penulis dpt berita tu..dan adakah penulis pasti serta yakin berita yg penulis tulis bkaitan kputusan anggota yg di tangkap tu POSITIF?. mohon kepastian..

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post