PBT tidak sensitif dengan penat lelah anak muda Melaka

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) disifatkan tidak sensitif dengan penat lelah anak muda Melaka serta tidak menghayati makna budaya dan kreativiti dalam perancangan bandar.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar meluahkan rasa "marah dan geram" berhubung tindakan PBT yang dilapor telah "memusnahkan" kawasan riadah diusahakan oleh anak muda dari kawasan terbiar.

"Anak muda ini sanggup belanja duit sendiri, bersih dan ceriakan tempat itu, dari kawasan terbiar dan busuk, jadi ceria dan jadi tumpuan ramai, ini pengorbanan yang patut kita hargai,"

Shamsul Iskandar

"Pihak berkuasa dan kerajaan negeri Melaka sepatutnya sokong usaha mereka, beri lebih banyak peruntukan, bukan musnahkan hasil penat lelah mereka," tegas Shamsul yang dihubungi EdisiRakyat semalam.

Ditanya apakah tindakan bakal diambil Pakatan Harapan sekiranya berjaya memerintah Melaka pada pilihanraya umum tidak lama lagi, Shamsul berjanji akan memastikan kawasan itu digazet sebagai pusat kreativiti anak muda.

"Kita akan gazetkan kawasan itu sebagai pusat kreativiti anak muda, kita akan salurkan peruntukan untuk mereka melakukan aktiviti sihat," katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka.

Kelmarin media melaporkan usaha sekumpulan anak muda yang mengambil inisiatif mengubah kawasan bangunan bekas kilang dedak lama di Jalan Tun Ali, daripada sebuah tempat dipenuhi sampah dan menjadi sarang penagih, kepada tempat rekreasi untuk anak-anak muda.

Usaha dilakukan sejak dua tahun lalu dilaporkan berhasil apabila kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai penggemar sukan "skateboard" termasuk pelancong asing.

Bagaimanapun, kira-kira seminggu lalu, segala keceriaan itu dilaporkan telah hilang akibat 'dimusnahkan' pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertindak memadamkan semua lukisan grafiti.

Bahkan, beberapa kemudahan riadah di situ dilaporkan turut diangkut. — EdisiRakyat.com, 30 Disember 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post