Kementerian Pendidikan nafi guru sokong pembangkang akan dipecat

KEMENTERIAN Pendidikan dilapor menyangkal tuduhan bahawa guru-guru yang menyokong pembangkang akan dipecat.

Menurut kementerian itu, kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah diambil luar konteks di media sosial lapor NST.

"Menteri memberikan nasihat umum, iaitu lebih baik penjawat awam menjauhi politik secara aktif sekiranya menjejaskan prestasi kerja mereka,"

"Mereka mesti berusaha untuk mengelakkan daripada menghasut kebencian kepada kerajaan dan pemimpin," kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini lapor NST.

Dalam satu perhimpunan guru di Putrajaya Pada 18 Januari, Mahdzir dalam pesanan tahun barunya mengingatkan para penjawat awam, terutama guru besar beringat tentang kedudukan mereka.


Mahdzir Khalid

Menurut beliau, terdapat segelintir guru-guru dan pengetua yang memegang jawatan dalam parti-parti pembangkang termasuk PKR dan Pas, dan menasihatkan mereka agar fokus untuk mendidik pelajar.

Beliau juga menasihatkan mereka agar bijak di dalam mengambil keputusan dan mengeluarkan kenyataan menentang kerajaan, kerana ia boleh menjejaskan jawatan mereka di dalam sektor awam.

Kementerian menegaskan bahawa Mahdzir tidak pernah meminta mereka untuk mengundi sesiapa, selain berkhidmat kepada rakyat secara bebas dan tidak berpihak di dalam memberikan perkhidmatan.

Kementerian itu dilapor meluahkan rasa kesal apabila kenyataannya telah diambil di luar konteks dan disalah anggap oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial untuk menimbulkan kebimbangan terhadap warga pendidik.

Kementerian itu turut menambah bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan satu arahan pada 6 April 2009, yang melarang penjawat awam di peringkat tinggi pengurusan dan bidang profesional dan kumpulan pengurusan daripada menyertai politik. — EdisiRakyat.com, 21 Januari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post