Parti politik perlu tunjuk manifesto jelas lindungi alam sekitar

SEMUA parti-parti politik yang bakal bertanding dalam pilihanraya umum akan datang perlu menunjukkan manifesto jelas bagi memastikan pengekalan dan pemuliharaan alam sekitar negara, kata kumpulan alam sekitar Pelindung Khazanah Alam (Peka).


Menurut presidennya Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, ini perlu bagi kesinambungan program-program perlindungan alam sekitar selain memastikan agar parti-parti ini bertanggung jawab terhadap tindakan mereka kepada alam.


"Pembalakan, kepupusan hidupan liar dan biodiversiti, keselamatan sumber air menjadi kepentingan rakyat Malaysia, setanding dengan isu-isu lain, malah ia lebih utama, terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan alam sekitar yang terhakis.


"Kami mahu lihat pelan tindakan yang jelas, komitmen tulen untuk menghentikan pelbagai aktiviti-aktiviti yang sedang menjejaskan ekosistem negara kita," katanya yang dipetik dalam satu temubual telefon bersama Malay Mail.


Peka

Kata Sabrina, dia mahu melihat ahli-ahli politik bercakap tentang kepentingan alam dalam kempen-kempen mereka, dan bukannya cuba menutup isu berkenaan.


Katanya orang ramai harap mempunyai ahli parlimen yang menjaga kawasannya, dan tidak sekadar menjadi "rubberstamp" kepada projek-projek pembangunan tanpa berfikir dua kali.


"Banyak sudah diperkatakan tentang pengistiharan harta dan kejujuran kewangan terhadap ahli politik, tapi kita mahu pemimpin yang membentuk kerajaan jujur dengan alam sekitar.


"Kita mahu pemimpin-pemimpin yang menyeimbangkan pembangunan dan pemuliharaan, bukan mereka yang akan hancurkan warisan semulajadi untuk memperolehi keuntungan cepat," katanya.


Tambahnya memandangkan Malaysia sedang mempromosikan ecotourism, tiada apa boleh ditunjukkan sekiranya projek-projek pembangunan diluluskan tanpa mendapat respon awam atau penilaian impak alam sekitar yang jujur.


"Perlindungan alam sekitar nampaknya seperti tiada dalam fikiran sesiapa sehinggalah kita ditimpa oleh bencana tanah runtuh, kekurangan air, pencemaran dan jerebu.


"Ia mungkin nampak kurang sensasi, namun sekiranya kita tidak mempunyai ahli politik berfikiran hijau, segala isu-isu tiada maknanya sekiranya kualiti udara dan air merosot dan harga makanan melambung," katanya.


Antara cabaran cabaran yang dihadapi oleh negara adalah pembalakan, kepupusan spesies terancam, pencemaran terutama sumber air dan penambakan tanah.


Ahli politik dari kedua-dua belah pihak menerima kecaman dari kumpulan-kumpulan alam sekitar berhubung beberapa projek-projek "high-profile" yang didakwa mereka menjadi punca atau penyebab bencana. 


Projek-projek infrastruktur juga menerima kritikan seperti bantahan terhadap Empangan Bakun, Lebuhraya Pan Borneo, dan landasan kereta api Pantai Timur kerana memusnahkan laluan hutan membawa kepada kerosakan habitat hidupan liar dan kawasan tadahan air.


Peka sebelum ini telah memberi amaran "bencana alam sekitar" bakal berlaku sekiranya projek ECRL diteruskan mengikut spesifikasi sedia ada, yang bakal menerobos laluan hutan di tengah-tengah semenanjung, memintas sebanyak 12 hutan simpan dan 27 sungai, yang bakal menjejaskan sumber air.


Perlombongan bauksit secara berterusan telah mengakibatkan kemerosotan ladang-ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh, Pelabuhan Kuantan dan kawasan-kawasan lain sehingga memerahkan warna air laut fan kawasan sekitarnya, membawa kepada kecaman rakyat dan moratorium sehingga hari ini. — EdisiRakyat.com, 25 Januari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post