SPRM serbu beberapa pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

SEPASUKAN anggota dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dilaporkan telah menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di Komtar, Pulau Pinang berhubung siasatan projek terowong bawah laut kerajaan negeri bernilai RM6.3 billion.

The Malay Mail memetik kenyataan seorang pegawai dari SPRM Putrajaya mengesahkan bahawa pasukan berkenaan telah melawat beberapa pejabat di Pulau Pinang untuk mengumpul maklumat berhubung siasatan projek terowong bawah laut itu.

"Kami telah menyerbu pejabat-pejabat dan kami hanya mengambil beberapa dokumen untuk membantu siasatan,"

Difahamkan pasukan berkenaan memulakan siasatan pagi ini dan telah pergi ke Jabatan Kerja Raya, Jabatan Tanah dan Galian di Komtar, serta pejabat sebuah syarikat pembinaan.

Timbalan Pengarah SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki dilapor memberitahu Berita Harian bahawa pasukan tersebut telah merampas sebahagian dokumen-dokumen di dalam serbuan terhadap pejabat-pejabat pagi ini untuk mendapatkan informasi berkenaan projek terowong bawah laut itu.

Azam Baki

Beliau dipetik sebagai berkata, serbuan itu dibuat berdasarkan bukti baru yang telah dihantar kepada agensi anti rasuah itu baru-baru ini.

Pada hari Sabtu lalu, Parti Cinta Malaysia membuat laporan kedua mendakwa mempunyai bukti baru berhubung projek terowong bawah tanah kepada SPRM di Putrajaya.

Pembinaan terowong bawah laut sepanjang 7.2 km itu telah diberikan kepada Consortium Zenith, dicadang untuk menghubungkan Gurney Drive di pulau berkenaan ke Bagan Ajam di Butterworth sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Kajian kebolehlaksanaan terowong berkenaan telah ditangguh hampir dua tahun, dan pada bulan Oktober lalu, Consortium Zenith mendakwa tiada keperluan untuk tergesa-gesa kerana projek berkenaan hanya dijangka akan dimulakan dalam tahun 2023. — EdisiRakyat.com, 9 Januari 2018

Post a Comment

0 Comments