Tak perlu reman Farid Kamil sampai 5 hari kata Ahli Parlimen

PENAHANAN reman selama 5 hari pelakon dan pengarah terkenal Farid Kamil, disifatkan sebagai tindakan berlebihan oleh pihak berkuasa kata Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin. 

Katanya segala butiran seperti mangsa, saksi dan rakaman litar tertutup (CCTV) untuk dijadikan bukti kes terhadap pelakon itu sudah cukup untuk pendakwaan di mahkamah. 

"Kejadian Farid didakwa menampar anggota polis dan orang awam di Balai Polis Kota Damansara, segala butiran kejadian seperti saksi, dan mangsa sudah sedia ada,"


Shamsul Iskandar

"Malah saya percaya, rakaman CCTV di dalam balai polis, tentu sekali boleh juga dijadikan bukti kejadian tersebut untuk pendakwaan terhadap pelakon itu di mahkamah." katanya. 

Menurutnya, tidak ada keperluan pihak polis untuk menahan Farid selama 5 hari. Penahanan itu jelas sekali tidak adil, dan meragut kebebasan seorang warganegara Malaysia yang sah secara tidak perlu dan berlebihan. 

"Tindakan ini menggambarkan prosedur penguatkuasaan undang-undang yang berlebihan dan tidak mengambil kira sudut keadilan di pihak Farid Kamil."  

"Saya bimbang ia menjejaskan integriti penguatkuasaan negara pada persepsi rakyat, memandangkan Farid Kamil merupakan individu yang terkenal, sekaligus kes berkenaan menjadi penilaian orang ramai." 

"Saya bukan mahu membela Farid kerana dia seorang artis, namun kes ini sebenarnya menggambarkan bahawa tindakan tidak adil seperti ini kerap berlaku terhadap orang lain, terutama orang awam," katanya.  

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Farid Kamil, 37 ditahan reman selama 5 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) kerana positif dadah, dan Seksyen 90 Akta Polis 1996 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.


Farid Kamil Reman

Pelakon itu turut disiasat di bawah Seksyen 323 dan 353 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan menggunakan paksaan jenayah bagi menghalang kakitangan awam menjalankan tugas.— EdisiRakyat.com, 20 Januari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post