Tidak boleh kuatkuasa Akta Hasutan kerana tidak digubal parlimen

PENGGUNAAN Akta Hasutan 1948 yang diwarisi dari penjajah untuk mendakwa individu adalah tidak mengikut perlembagaan, kerana ia merupakan undang-undang sebelum merdeka kata seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan. 


Gopal Sri Ram dipetik sebagai berkata, hanya parlimen mempunyai kuasa untuk mengenakan sekatan-sekatan terhadap kebebasan bersuara.  


"Akta Hasutan merupakan undang-undang sedia ada. Baiklah, ia baik. Anda boleh tampalkannya di dinding. Tapi anda tidak boleh mendakwa sesiapa menggunakannya kerana ia bukan undang-undang yang digubal oleh parlimen. 


"Jadi, Ia adalah undang-undang sedia ada dan sebuah undang-undang yang sah, namun ia tidak boleh dikuatkuasakan," kata Gopal ketika berucap di auditorium baru Majlis Peguam Selangor di Seksyen 13 Shah Alam, lapor The Malaysian Insight.

Gopal Sri Ram
FOTO— The Malaysian Insight

Turut hadir di majlis berkenaan adalah pengerusi majlis peguam negeri, A.G Kalidas.


Gopal merujuk kepada Artikel 10(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa hanya parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan berucap, bersuara dan berhimpun di bawah Artikel 10(1). 


"Artikel 10(1)(a) membenarkan kebebasan bersuara. Namun ia bukanlah hak mutlak seperti Artikel 5(1). Ia merupakan hak bersyarat kerana syaratnya hadir dalam Artikel 10(2)."


Artikel 10(2) membenarkan parlimen untuk menggubal "Sekatan-sekatan yang dirasakan perlu atau bermanfaat bagi kepentingan keselamatan persekutuan...", sementara Artikel 5(1) menyatakan bahawa tidak boleh sesiapapun dinafikan hak kebebasannya kecuali dibenarkan oleh undang-undang. 


Menurut Gopal Akta Hasutan "boleh ada, tetapi kita tidak boleh melaksanakan kuasa di bawah akta itu kerana adanya perlembagaan. 


"Oleh itu, Akta Hasutan adalah undang-undang yang sangat baik. Cemerlang. Seperti yang sudah saya katakan, menteri dalam negeri boleh tampalkannya di dinding rumah. Namun beliau tidak boleh mendakwa orang dengan akta itu.


"Kamu boleh buat apa yang kamu suka. Namun kamu tak boleh buat undang-undang yang sedia ada sebagai undang-undang yang telah melalui parlimen. Ia bukanlah udang-undang yang digubal oleh parlimen." 


Sebelum itu dalam ucapannya, Gopal dilaporkan berkata, sekiranya mahkamah berdepan dengan undang-undang sebelum merdeka yang tidak konsisten dengan perlembagaan, jika ia melucutkan hak yang ditetapkan oleh perlembagaan, mahkamah perlu "menyesuaikan sepenuhnya undang-undang itu supaya ia selari dengan perlembagaan".


Katanya, sekiranya undang-undang berkenaan tidak boleh disesuaikan dengan perlembagaan kerana ia bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa, maka mahkamah "tiada pilihan lain kecuali membatalkannya,".


"Di dalam melaksanakan amalan ini, mahkamah tidak melakukan sebuah fungsi perundangan. Ia sedang melaksanakan tanggungjawab perlembagaan."


Minggu lalu, mahkamah persekutuan dalam satu kes hasutan melibatkan ahli Dewan Negeri Selangor, Shuhaimi Shafiei mengetepikan keputusan bahawa Seksyen 3(3) Akta Hasutan sebagai tidak berperlembagaan.


Subseksyen itu membenarkan pendakwaraya kerajaan untuk menuduh seseorang dengan hasutan tanpa membuktikan niat.


Gopal mewakili Shuhaimi, yang telah dituduh dalam tahun 2011 kerana mengirim bahan yang dikatakan bersifat hasutan dalam blog miliknya.


Hakim Mahkamah Rayuan, Varghese George Varughese dalam tahun 2016 telah memutuskan bahawa undang-undang berkenaan bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan disebabkan itu ia menjadi tidak sah, dan tiada kesan dalam undang-undang. — EdisiRakyat.com, 20 Januari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post