Padah potong barisan, lelaki maut ditikam

SEORANG pemandu lori didakwa maut ditikam akibat memotong barisan ketika menimbang buah kelapa sawit di kilang kelapa sawit berdekatan kampung Ulu Sapi, Jalan Sapi Nangoh Beluran semalam.


Mangsa yang dikenali sebagai Baso Padue Paddo, 30, maut akibat ditikam sebanyak tiga kali dengan senjata tajam di lengan, belakang dan dada kanan dalam kejadian kira-kira 11 pagi seperti yang dipetik dalam laporan Harian Metro.


Menurut ketua polis Daerah Beluran, Superitenden V Shivanathan, dipetik sumber sebagai berkata, hasil siasatan awal mendapati berlaku salah faham di antara mangsa dan suspek di lokasi sama sehari sebelum kejadian ketika mangsa datang ke situ untuk menghantar buah kelapa sawit.


Menurut sumber lagi, pertelingkahan tersebut dikatakan disebabkan mangsa memotong barisan ketika menimbang buah kelapa sawit menyebabkan suspek marah namun berjaya dileraikan oleh orang ramai kira-kira 11 pagi pada hari sebelumnya.


Malangnya suspek berdendam dan menunggu mangsa di tempat sama keesokan harinya kerana yakin mangsa akan datang untuk menghantar buah kelapa sawit dengan membawa senjata tajam yang diselit di pinggang.


maut ditikam

Ketika mangsa tiba, suspek terus menegur mangsa dan sekali lagi berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek menikam tangan kiri mangsa.


Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan melarikan diri namun suspek terus mengejar dan sekali lagi menikam belakang mangsa sehingga mangsa terjatuh.


Suspek sekali lagi nekad menyerang mangsa dengan menikam dada mangsa sebelum melarikan diri.


Kejadian itu dikatakan berlaku dihadapan pekerja-pekerja lain yang mana mangsa yang cedera parah akibat ditikam dikejarkan ke klinik kesihatan Telupid dan dilaporkan meninggal tidak lama kemudian akibat kecederaan di bahagian dada.


Polis yang ketika itu menerima laporan daripada saksi kejadian bergegas mengesan suspek terbabit yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berdekatan.


Sekitar jam empat 4.30 petang semalam, suspek datang menyerah diri dan dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah IPD Beluran untuk siasatan lanjut, tambah Shivanathan lagi.


Kes akan disiasat Mengikut seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh.— EdisiRakyat.com, 16 Febuari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post