Ads Top

Bendera dibakar, papan tanda diroboh

ADAB budaya sopan-santun bangsa Johor kini dicemari dengan perbuatan segelintir pihak biadab membakar bendera serta menjatuh dan merosakkan papan tanda Pakatan Harapan.


Taktik kotor itu dilakukan di beberapa kawasan dalam Parlimen Ayer Hitam. Di kawasan DUN Yong Peng, bendera-bendera PKR yang menjadi lambang bersama Pakatan Harapan untuk PRU14 telah dijatuhkan dan dibakar oleh pihak tertentu.


Di kawasan Ayer Hitam pula yang melibatkan DUN Semarang, papan-papan tanda kempen Harapan dipotong serta dijatuhkan.

Setakat yang diketahui 6 papan tanda telah disabotaj, dan papan-papan tersebut terletak di Parit Lapis, Parit Bingan, Parit Londong, Parit Sri Paya, Parit Quarry, dan Parit Hamid.


Menurut bakal Calon Pakatan Harapan untuk Dewan Negeri Semarang, Cikgu Zais Akil, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku semasa kempen pilihanraya. 

"Ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti politik haruslah mengamalkan budaya pilihanraya yang matang, sama ada bagi pihak Barisan Nasional atau Pakatan Harapan," katanya dalam sidang sidang di pekan Ayer Hitam yang turut dihadiri oleh bakal Calon Ayer Hitam, Liew Chin Tong dan penyandang serta bakal calon DUN Yong Peng, Chew Peck Choo.


Terdahulu dalam satu sidang akhbar di Yong Peng, Peck Choo juga kesal dengan perbuatan membakar bendera-bendera yang telah dipasang di bandar itu.


"Mengapa buat perangai buruk itu? Bertandinglah secara adil dan matang. Mereka tak tahukah dengan membakar bendera, ia tak akan kurangkan  semangat dan sokongan warga Malaysia kepada Pakatan Harapan," katanya. 

Menurutnya, pasukan Pakatan Harapan Ayer Hitam akan menjalankan  kempen 'Pulangkan Harapan' untuk mengajak orang ramai menderma dan mengibarkan bendera Pakatan Harapan di rumah masing-masing. — EdisiRakyat.com, 26 April 2018

No comments:

Powered by Blogger.