Mayat bayi terapung dalam kolam disangka patung

SEORANG penduduk kampung yang memandu pulang dari pasar ikan di Pekan Membakut, Kota Kinabalu pada awalnya menyangka sebuah patung terapung di atas permukaan air sebuah kolam berdekatan rumahnya.

Perasaan ingin tahu membuatkan dia berhenti untuk memeriksa "patung" berkenaan, sebelum terkejut apabila mendapati objek yang disangka "patung" itu sebenarnya mayat seorang bayi lelaki yang sedang mereput.

Ketua Polis Beaufort, DSP Azmir Abd Razak dilaporkan berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ag Madun Estor itu kemudian segera memberitahu rakannya tentang perkara tersebut sebelum membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku di Kg Binsuluk, Membakut pada jam 12.30pm hari Sabtu (6 Okt) itu.


"Siasatan mendapati jasad itu merupakan bayi yang dilahirkan kurang dari seminggu yang lalu," kata DSP Azmir. Tambahnya lagi, tali pusat bayi masih melekat di badannya.

"Jasad bayi berkenaan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk bedah siasat," katanya.

Tambahnya lagi, usaha sedang dijalankan untuk mencari ibu bayi ataupun saudaranya.

Kes berkenaan kini disiasat kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian di bawah Kanun Keseksaan.

"orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta untuk menghubungi Insp Ghazali Kasmani di talian 01120601567," katanya. — EdisiRakyat.com, 7 Oktober 2018

Post a Comment

0 Comments