Polis akan pantau pusat asuhan kanak-kanak seluruh negara

PIHAK Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilapor akan membantu Menteri Kemajuan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memantau pusat-pusat asuhan kanak-kanak di seluruh negara termasuk pusat asuhan persendirian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata polis akan menempatkan seluruh sumbernya termasuk Amanita bagi menjalankan tugas itu.

"Kita ada kemampuan kerana polis ada di mana-mana, kita telah memberitahu Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim) bawa kita akan menghantar pasukan kita, Amanita turun ke bawah.

Amanita

"Kami juga menjalankan tinjauan untuk memeriksa berapa jumlah pusat asuhan halal (berdaftar) dan haram (tidak berdaftar)," katanya memberitahu wartawan selepas Dr Wan Azizah, yang juga merupakan menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat melawat Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11) di Ibu Pejabat Polis Persekutuan hari ini.

Amanita

Menurut Noor Rashid, ini termasuklah memantau pusat asuhan persendirian yang beroperasi di kawasan kediaman yang jelas bergerak secara haram.

"Kami tahu kewujudan mereka, Kami sedang berbincang langkah selanjutnya," katanya.

Beliau dilapor berkata demikian ketika mengulas kes kematian bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal yang dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.

Ditanya sekiranya pihak polis ada menyediakan kemudahan untuk ibu bapa yang mahu memeriksa latar belakang pengasuh, menurut Noor Rashid, pihak polis sedia untuk membantu namun dengan syarat-syarat tertentu.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa tindakan juga boleh diambil terhadap ibu bapa di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001, sekiranya terbukti kecuaian mereka telah menyebabkan kanak-kanak didera oleh pengasuh.

Bagaimanapun katanya timbalan pendakwa raya yang akan menentukan perkara itu, bergantung kepada hasil siasatan dan kriteria tertentu. — EdisiRakyat.com, 13 Ovember 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post