ADUN Umno kata ada akaun bersumpah mahu jatuhkan MB Perak

KETUA pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini dilapor mengulangi dakwaannya menyatakan Exco DAP, Abdul Aziz Bari merupakan dalang disebalik usaha menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Kali ini Saarani mendakwa beliau memiliki pengakuan bersumpah (SD) dari adun-adun Barisan Nasional yang telah ditemui oleh Aziz.

Bercakap kepada wartawan di luar Dewan Undangan Negeri hari ini, Saarani, Adun Umno (BN-Kota Tampan) dilaporkan berkata, pertemuan terbaru dibuat oleh Abdul Aziz (PH-Tebing Tinggi) ialah pada hari Sabtu, di Kamalodge di Taiping.

Datuk Saarani Mohammad
Foto — Malay Mail

"Saya akan serahkan SD berkenaan kepada pihak polis apabila saya dipanggil untuk memberikan keterangan,"

"Saya difahamkan oleh pihak polis, satu kertas siasatan telah dibuka berikutan laporan polis yang dibuat oleh setiausaha Pakatan Harapan Perak," kata beliau, yang enggan mendedahkan identiti 5 adun yang telah didekati oleh Abdul Aziz.

Menurut Saarani, beliau bukan mahu mendapat sebarang keuntungan dengan mengetengahkan perkara tersebut, sebaliknya terpaksa mendedahkannya demi kestabilan politik negeri.

"Saya tidak mencari popular," katanya.

"Masalahnya adalah tindakan Adun Tebing Tinggi, yang mencipta kekacauan di negeri Perak," katanya.

Ujarnya, sebagai seorang pakar perlembagaan Abdul Aziz patut sedar adalah mustahil untuk menyingkirkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak mempunyai sebarang kes jenayah atau perundangan.

"Bukan seperti bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Harun Idris, beliau disingkirkan sebagai Menteri Besar susulan jenayah pecah amanah terhadapnya," katanya.

Katanya lagi, cara yang betul adalah melalui undi tidak percaya diusulkan terhadap Ahmad Faizal dalam dewan undangan negeri.

Saarani mendakwa di dalam akuan bersumpah berkenaan, adun berkenaan mendakwa Abdul Aziz memaklumkan kepada mereka bahawa beliau mempunyai sokongan dari Putrajaya untuk menyingkirkan Ahmad Faizal.

"Dia beritahu adun-adun saya yang dia mempunyai sokongan daripada 18 adun adun DAP, 4 Amanah, dan 4 PKR,"

"Jadi untuk menjatuhkan Ahmad Faizal, dia perlukan sekurang-kurangnya 5 orang lagi dari Barisan Nasional," katanya.

Saarani menasihatkan Abdul Aziz supaya berhenti bermimpi untuk menjadi Menteri Besar. Katanya, Naib Pengerusi DAP Perak itu tidak patut menjadi pemimpin Islam yang menipu dan munafik.

Saarani turut mengulangi kenyataan bahawa Barisan Nasional Perak sedia untuk berdepan dengan pilihanraya negeri.

"Kami yakin menang jika pilihanraaya negeri diadakan," katanya sambil menambah tidak takut disaman oleh Abdul Aziz selepas menuduh Exco kerajaan negeri itu sebagai dalang untuk menjatuhkan Ahmad Faizal di luar dewan negeri.

"Sebagai pemimpin pembangkang, anda kena kuat dan berani," katanya. — EdisiRakyat.com, 5 Disember 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post