Bayi pertama lahir dari rahim penderma yang sudah meninggal dunia

SEORANG wanita di Brazil yang menerima rahim dari seorang penderma yang sudah meninggal dunia dilapor berjaya melahirkan seorang bayi perempuan.

Bayi itu sekaligus mencipta sejarah sebagai bayi pertama di dunia, dilahirkan dari rahim penderma yang sudah meninggal dunia.

Bayi lahir dari rahim penderma telah meninggal dunia

Kes berkenaan dilaporkan dalam Jurnal Perubatan The Lancet.

Sebelum ini 10 kali pemindahan rahim dari penderma yang telah meninggal dunia dilakukan di Amerika Syarikat, Czech Republic, dan Turki. Namun kesemua percubaan itu gagal melahirkan bayi yang selamat.

Bayi perempuan yang dilahirkan di Brazil itu melalui pembedahan selepas dikandungkan oleh ibunya selama 35 minggu dan 3 hari, seberat 2.55kg.

Dr Dani Ejzenberg, dari Hospital Universiti San Paolo yang mengetuai kajian berkenaan berkata, pemindahan Rahim itu dijalankan dalam bulan September 2016 ketika penerima berusia 32 tahun.

Kejayaan itu menunjukkan bahawa teknik yang digunakan adalah praktikal Dan memberi harapan kepada wanita-wanita yang mengalami masalah kesuburan rahim untuk mendapatkan lebih ramai penderma.

Sebelum ini, penerima hanya menerima rahim dari penderma yang masih hidup datang dari ahli keluarga yang rela mendermakan rahim mereka.

"Jumlah individu yang rela dan komited untuk mendermakan organ mereka selepas kematian adalah jauh lebih besar berbanding penderma yang masih hidup, menawarkan lebih banyak potensi populasi penderma," kata Dr Ejzenberg dalam satu kenyataan berhubung perkara itu.

Kali pertama bayi dilahirkan melalui pemindahan rahim daripada penderma hidup ialah di Sweden dalam tahun 2013.

Para penyelidik kemudiannya dilapor melakukan sebanyak 39 prosedur seperti itu dan telah berjaya menghasilkan 11 kelahiran hidup.

Pakar menganggarkan masalah kesuburan menjejaskan sekitar 10 hingga 15 peratus pasangan pada umur kesuburan normal di seluruh dunia. Daripada kumpulan ini sejumlah 500 wanita mengalami masalah rahim.

Sebelum teknologi pemindahan rahim berjaya dilakukan, pilihan yang ada hanyalah sama ada mengambil anak angkat ataupun menggunakan ibu tumpang.

Bagi kes di Brazil ini, penerima rahim memang dilahirkan tanpa rahim disebabkan satu situasi ganjil yang dipanggil Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser Syndrome.

Penderma pula seorang wanita berusia 45 tahun yang meninggal dunia akibat serangan stroke.

Lima bulan selepas proses pemindahan rahim, pasukan penyelidik Dr Ejzenberg memaklumkan bahawa, Rahim berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda penolakan, imbasan ultrasound normal, dan penerima juga mengalami haid yang teratur.

Telur milik wanita itu yang sebelum ini telah disenyawakan dan disejukbeku, telah dipindahkan selepas 7 bulan. Sepuluh hari kemudian dia disahkan hamil.

Pada ketika berusia 7 bulan 20 hari, ketika laporan kajian itu dihantar kepada The Lancet, bayi perempuan berkenaan dilapor terus menghisap susu badan dan beratnya telah mencapai 7.2 kg. — EdisiRakyat.com, 5 Disember 2018

Post a Comment

0 Comments