PM harap Sarawak tidak terlalu mendesak royalti minyak

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berharap Kerajaan Negeri Sarawak tidak terlalu mendesak berhubung isu royalti minyak di negeri itu.

Ia memandangkan ketika ini kedudukan kewangan kerajaan negeri itu baik sehingga mampu membentangkan belanjawan negeri terbesar di negara ini.

"Kita berharap mereka (kerajaan negeri) tidak terlalu mendesak berhubung isu royalti minyak," pintanya.

Mahathir

Sarawak sebelum ini menuntut supaya royalti minyak lima peratus daripada Kerajaan Persekutuan dinaikkan kepada 20 peratus, ia sebagai sebahagian daripada hak istimewa negeri seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Sementara itu Perdana Menteri memberi jaminan projek Persekutuan di Sarawak akan diteruskan tanpa mengira kerajaan yang memerintah negeri itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bagi Kerajaan Persekutuan, Sarawak sebahagian daripada Malaysia dan pembangunan negeri itu adalah tanggungjawab Putrajaya.

"Sudah tentu kami lebih suka dengan sebuah kerajaan yang mesra daripada parti yang sama dengan Kerajaan Persekutuan namun, sama ada ia kerajaan yang berbeza atau sama projek Persekutuan di Sarawak akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat tertutup mengenai kemajuan projek Persekutuan di Sarawak semalam.

Ditanya mengenai kerajaan negeri gabungan parti Sarawak GPS yang menawarkan RM1 bilion untuk digunakan bagi membina semula sekolah yang uzur di negeri itu, ujarnya ia satu pinjaman namun begitu Kerajaan Negeri Sarawak juga katanya ada berhutang dengan Kerajaan Persekutuan.

"Kita lebih suka sekiranya mereka bayar sahaja wang yang mereka hutang daripada kita. Sebab mereka mempunyai wang yang banyak, belanjawan Sarawak adalah yang terbesar di Malaysia RM11 bilion," katanya.

Mengenai membina semula dan menaiktaraf 116 sekolah yang uzur di seluruh negeri itu yang membabitkan peruntukan RM443.5 juta tahun ini, Tun Dr Mahathir berkata ia mengambil masa panjang untuk mendapatkan bahan pembinaan.

Setakat ini 77 buah sekolah seumpamanya telah siap dan 39 lagi dalam pelbagai fasa pelaksanaan yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Terdahulu antara yang disentuh dalam taklimat oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mansor Man adalah perlaksanaan projek di bawah rancangan Malaysia ke-11 di negeri itu membabitkan 597 projek dengan kos RM14 bilion. — EdisiRakyat.com, 3 Disember 2018

Post a Comment

0 Comments