Rumah-rumah kosong diberi secara percuma di Jepun

RUMAH percuma mungkin kedengaran seperti satu penipuan, di negara kita. Umum tahu keadaan harga rumah yang sangat tinggi di negara ini.

Rumah yang dikategorikan sebagai "mampu milik" pun, hanya mampu ditengok atau dilihat sahaja oleh sebilangan besar rakyat Malaysia.

Namun berbeza dengan negara Jepun, lantaran menghadapi masalah hartanah yang ganjil, terlalu banyak rumah-rumah diberikan secara percuma kepada sesiapa yang memerlukan. Ini kerana, negara matahari terbit itu mempunyai lebih banyak rumah berbanding manusia.

Rumah kosong percuma di Jepun

Menurut Forum Dasar Jepun, dalam tahun 2013 sahaja terdapat sejumlah 61 juta buah rumah, berbanding hanya 52 juta isi rumah. Situasi itu kini dilaporkan semakin bertambah buruk.

Menurut Institut Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan, rakyat Jepun dijangka menurun dari angka 127 juta kepada hanya sekitar 88 juta menjelang tahun 2065.

Ini bermakna semakin kurang rakyat yang memerlukan rumah di negara itu.

Di kala ramai anak-anak muda berhijrah ke kawasan bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan, desa dan kawasan pedalaman dipenuhi dengan ribuan rumah-rumah kosong yang disebut "akiya" dalam bahasa Jepun.

Dijangka pada tahun 2040, sejumlah hampir 900 pekan-pekan dan kampung di seluruh Jepun akan pupus termasuk sebuah wilayah bernama Okutama.

Oleh itu, salah satu cara boleh dilakukan bagi mengelakkan kepupusan desa-desa ini ialah dengan memberikan rumah-rumah secara percuma.

"Dalam tahun 2014 kami dapati Okutama merupakan satu daripada tiga pekan dalam wilayah Tokyo yang dijangka pupus pada tahun 2040," kata Kazutaka Niijima, seorang pegawai Jabatan Revitalisasi Pemuda (OYR), sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memenuhkan kembali populasi pekan.

Okutama terletak pada jarak 2 jam perjalanan ke arah barat dari pusat bandar Tokyo yang padat dan bermandi cahaya lampu.

Dalam tahun 1960 an, Okutama mempunyai seramai 13,000 penduduk, juga merupakan daerah perdagangan balak yang menguntungkan.

Namun selepas berlaku liberisasi import dan kejatuhan permintaan balak dalam tahun 1990, kebanyakan anak mudanya telah berhijrah ke bandar. Hari ini Okutama hanya mempunyai seramai 5,200 penduduk.

Dalam website jualan hartanah, banyak rumah-rumah yang diiklankan secara percuma, di mana pembeli hanya perlu membayar cukai dan yuran seperti komisyen ejen yang menguruskan penjualan.

Difahamkan kebanyakkan pemilik sudah tidak mampu untuk menguruskan hartanah mereka lagi, atau tidak mahu membayar cukai harta yang dikenakan di Jepun untuk rumah yang tidak diduduki.

Kebanyakkan rumah-rumah percuma ini juga perlu dibaikpulih, kerana keadaannya yang sudah lama ditinggalkan.

Namun pihak berkuasa tempatan seperti di Wilayah Tochigi dan Nagano dilapor turut menawarkan subsidi untuk menanggung kerja-kerja membaik pulih rumah-rumah kosong itu. — EdisiRakyat.com, 6 Disember 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post