Remaja positif Covid-19 darahnya terpercik merata-rata di dinding hospital sebelum mati

ENAM hari selepas disahkan positif Covid-19, seorang remaja berusia 13 tahun, Peyton Baumgarth akhirnya dilaporkan meninggal dunia akibat mengalami komplikasi. Ketika sedang menjalani rawatan kecemasan, darahnya terpercik merata-merata di dinding hospital. 



Gambar percikan darah itu dikongsi oleh ibunya Stephanie Franek menerusi akaun Facebook pada 18 Disember 2020 (semalam), menceritakan kembali kejadian yang menimpa anak lelakinya itu.

Darah terpercik di dinding hospital

Stephanie turut menggesa orang ramai supaya tidak mengambil mudah dengan ancaman wabak Covid-19. 

Berdasarkan laporan dailymail.co.uk, Stephanie merupakan seorang jururawat berusia 44 tahun. Dia dan anaknya telah menjalani ujian saringan pada 25 Oktober dan mengalami simptom ringan Covid-19 seterusnya telah melakukan pengasingan rumah.

Namun selepas empat hari menjalani kuarantin di rumah, anak lelakinya Peyton mula berasa sangat letih, dan tidak mampu lagi berjalan dan bercakap dengan orang lain. Kuku di hujung jari kaki dan tangannya kelihatan berwarna biru.

Selepas menyedari perkara itu, Stephanie segera menghantar anaknya ke hospital (SSM Cardinal Glennon Children's Hospital).


Peyton mula mengalami batuk yang teruk dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan dan pemantauan intensif. 

Remaja berusia 13 tahun itu sebelum ini mempunyai sejarah menghidap asthma dan masalah thyroid. Ketika sampai di bilik kecemasan, dia kelihatan sangat lemah, dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Selepas ujian dijalankan ke atasnya, kandungan oksigen di dalam darahnya menjunam kepada paras 44 peratus, berbanding paras normal yang sepatutnya sekitar 95% hingga 100 % dan keadaanya sangat kritikal.

Dalam sejam kemudian, dia telah dipasangkan alat bantuan pernafasan. 

Menurut Stephanie keadaan Peyton tiba-tiba bertambah buruk pada 31 Oktober 2020 di mana nadinya sangat lemah dan paras oksigen darahnya sangat rendah.

"Dia batuk-batuk dengan sangat teruk dan mula melukakan paru-parunya," katanya.


Tambahnya lagi, ketika doktor mahu menukar salur tiub yang dimasukkan ke dalam rongga leher Peyton, darah dari paru-parunya tersembur keluar dan terpercik ke dinding.

"Doktor pakar bedah hati itu penuh dengan darah, namun dia tetap juga meneruskan kerja," katanya.

Stephanie menyaksikan bagaimana empat orang doktor bersama 10 orang jururawat berjuang selama 1 jam 15 minit cuba untuk menyelamatkan nyawa anak lelakinya.

Namun akhirnya tidak ada apa lagi usaha yang mampu dilakukan. Stephanie tidak menyangka keadaan anaknya itu menjadi begitu teruk akibat jangkitan Covid-19.

"Saya tak pernah dengar ada remaja yang dijangkiti sehingga begitu teruk. Saya merasa sangat takut, sukar untuk menceritakan kehilangan yang mendadak dan sangat menyedihkan ini," ujarnya.

Menurutnya dia berkongsi kisah kematian anaknya sebagai amaran kepada orang lain supaya mengambil serius tentang ancaman virus pendemik berkenaan.

"Saya harap orang ramai akan memandang serius Covid-19, dan tidak mengatakan ia satu agenda politik atau sejenis berita palsu atau ia sama seperti selsema biasa," katanya.


Katanya, dia dan keluarga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan 'sangat berhati-hati,' namun tetap juga dijangkiti.

"Kami sangat berhati-hati. Jika pergi ke mana-mana kami sentiasa memakai pelitup muka dan kami membasuh tangan menggunakan pembasmi kuman dan kami masih terkena covid,"

Kakak Stephanie yang berusia 57 tahun, Cyndi Crawford juga telah dijangkiti Covid-19, sebelum meninggal dunia pada 7 Disember lalu. — EdisiRakyat.com, 20 Disember 2020

Post a Comment

أحدث أقدم