Sejarah Rasulullah membina Masjid Nabawi di Madinah

KETIKA kali pertama menjejakkan kaki di Madinah, Rasulullah singgah di perkampungan Bani Najjar pada hari Jumaat 12 rabiulawal tahun pertama Hijrah bersamaan dengan 27 September tahun 622 masihi.



Ketika berada di perkampungan itu, Rasulullah tinggal di rumah Abu Ayub Al-Ansari. Langkah pertama yang dilakukan oleh baginda di Madinah adalah membina masjid. Tempat yang dipilih oleh baginda pula berdasarkan di mana untanya berhenti.

Ilustrasi Masjid Nabawi
Ilustrasi gambaran rupa bentuk Masjid An-Nabawi di awal pembinaan

Diceritakan pada ketika itu Rasulullah terus membawa bebatuan untuk membina masjid berkenaan sambil berkata:

"Tidak ada kehidupan hakiki kecuali kehidupan akhirat maka ampunilah kaum Muhajirin dan kaum Ansar."

"Pekerja-pekerja ini bukanlah pekerja Khaibar, mereka adalah pemilik yang baik dan paling suci,"

Kata-kata yang dilaungkan oleh rasulullah itu telah menaikkan semangat para sahabat. Sambil bekerja mereka turut membalas senandung yang diucapkan oleh Rasulullah saw.

"Jika kita duduk sahaja sementara Rasulullah bekerja sungguh ini perbuatan yang menyesatkan," balas mereka.

Terdapat perkuburan orang-orang musyrik di kawasan tersebut, terdapat juga kesan runtuhan bangunan, pohon kurma dan sebuah pohon lain (gharqad).


Rasulullah saw telah memerintahkan para sahabat untuk menggali kubur berkenaan, meratakan kesan runtuhan bangunan, dan juga memotong pohon-pohon kurma dan qharqad berkenaan sebelum menetapkan kiblat memandang ke arah Baitul Maqdis (ketika itu arah kiblat umat Islam masih lagi memandang ke arah Jurusalem).

Dua hujung pintu Masjid Nabawi dibuat terlebih dahulu, dindingnya pula diperbuat daripada batu bata yang disusun dengan tanah lumpur, manakala atapnya dari daun kurma dan tiangnya dari batang pohon.

Manakala lantai masjid itu diperbuat daripada hamparan pasir dan batu batu kerikil kecil. Terdapat tiga buah pintu manakala panjang bangunannya dari arah kiblat sehingga kehujung dianggarkan sepanjang 100 hasta, begitu juga dengan kedua-dua sisinya. Asasnya pula setebal 3 hasta.

Baginda juga turut membina beberapa buah rumah di kedua-dua sisi masjid berkenaan daripada bebatuan. Selepas selesai rumah berkenaan dibina, Rasulullah telah berpindah dari rumah Abu Ayyub ke rumah tersebut.

Gambaran Masjid Nabawi
Satu lagi lakaran rupa bentuk Masjib Nabawi

Sepanjang pembinaan Masjid Nabawi, Rasulullah mengatur dan memimpin sahabat untuk membangunkannya dengan penuh cermat dan berhati-hati. Baginda menempatkan para sahabat untuk bekerja berdasarkan kepakaran masing-masing.

"Serahkanlah urusan tentang tanah kepada Al-Yamani. Kerana dia orang yang paling ahli di antara kalian di dalam membuat adunan tanah," sabda Rasulullah kepada para sahabat kaum muslimin.

Ammar bin Yasir merupakan orang yang paling bersemangat mahu membangunkan Masjid Nabawi. Perkara itu dapat dilihat apabila dia membawa dua buah bebatuan iaitu lebih banyak berbanding sahabat yang lain.

Melihatkan kejadian itu, Rasulullah saw segera menghampirinya sebelum mengelus punggungnya.

"Wahai putera Sumayyah, di kala orang lain mendapatkan satu pahala, engkau mendapat dua pahala. dan akhir kekuatan-mu adalah seteguk air susu dan engkau kelak akan dibunuh oleh kelompok orang yang zalim," sabda Rasulullah.

Kenyataan Rasulullah saw itu menjadi salah satu bukti kerasulan Baginda apabila kenyataan itu terbukti di kemudian hari di mana Ammar terbunuh ketika berlaku pertempuran antara kelompok penyokong Ali bin Abi Thalib dan penyokong Muawiyah.


Pada ketika itu Ammar berada di pihak yang menyokong Ali bin Abi Thalib. Penyokong Muawiyah telah membunuhnya, dan Ammar meninggal dunia dengan cara seperti yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw sebelum ini.

Pembinaan Masjid Nabawi memakan masa selama 12 hari. Nabi Muhammad seterusnya memerintahkan Bilal bin Rabah untuk melaungkan azan sebanyak lima kali sehari.

Diceritakan ketika kali pertama azan dilaungkan oleh Bilal bin Rabah, suaranya bergema di sudut-sudut kota. Salah seorang sahabat Rasulullah saw, iaitu Abdullah bin Zaid bin Abdu Rabbih dikatakan pernah bermimpi mendengar seruan azan.

Katanya kalimah yang dikumandangkan oleh Bilal sama persis dengan yang pernah didengarnya di dalam mimpi sebelum ini.

Seorang lagi sahabat Rasulullah saw, iaitu Umar Bin Khattab juga turut terpegun mendengar seruan azan itu, kerana Umar juga dikatakan pernah bermimpi mendengar seruan azan yang sama seperti itu.

Umar segera bertemu dengan Rasulullah saw dan memberitahu perihal mimpinya yang sama seperti dialami oleh Abdullah bin Zaid.

Sejak dari awal dibina Masjid Nabawi bukan sahaja dijadikan sebagai tempat ibadah namun ia juga menjadi pusat kepentingan kaum muslimin.

1. Masjid Nabawi dijadikan tempat menampung bapa-bapa orang wanita dari wilayah Arab yang baru memeluk Islam dan belum mempunyai tempat tinggal contohnya Walidah As-Sauda yang telah membina khemah untuk dijadikan biliknya di dalam masjid.

2. Kaum muhajirin yang lemah dan miskin serta bujang juga mendapat perlindungan di Masjid Nabawi. Ini kerana mereka belum lagi mendapat tempat tinggal di Madinah. Golongan ini disebut dengan panggilan Ahlus-Shuffah.

3. Masjid Nabawi juga menjadi tempat para sahabat membaca syair-syair arab yang menjadi alat dakwah dan mencetuskan semangat di kalangan pemimpin, para sahabat.

4. Kaum muslimin juga mendapatkan pelajaran ilmu-ilmu agama di Masjid Nabawi.

5. Kaum musyrik yang menjadi tawanan ketika peperangan turut ditahan di Masjid Nabawi, tujuannya antara lain supaya mereka tertarik untuk memeluk islam selepas mendengar pelbagai ajaran Islam yang disampaikan kepada kaum muslimin.

Antara tawanan yang tertarik dengan Islam selepas ditahan di Masjid Nabawi ialah Tsumamah bin Atsal.

6. Masjid Nabawi turut dijadikan tempat persediaan sebelum kaum muslimin berangkat ke medan perang.

7. Masjid Nabawi turut dijadikan sebagai pusat kesihatan.

8. Utusan-utusan dari negara lain dihantar untuk bertemu dengan Rasulullah saw, juga akan datang ke Masjid Nabawi.

9. Kaum muslimin bertemu dan bermesyuarat dengan pemimpin mereka di Masjid Nabawi. 


Mimbar Nabi

Sejak Masjid Nabawi dibina, Rasulullah saw tidak mempunyai mimbar untuk menyampaikan khutbah. Setiap kali Rasulullah saw menyampaikan ucapan kepada para sahabat, Baginda hanya menyandarkan tubuh pada sebatang pohon yang tumbuh di tempat solatnya.

Selepas sebuah mimbar dibina dan dijadikan tempat Rasulullah saw menyampaikan khutbah kepada kaum muslimin, batang pohon itu tidak lagi digunakan.

Diceritakan dari HR Bukhari, batang pohon itu menjadi layu dan kelihatan sedih. Menyedari perkara itu Rasulullah saw telah menghampiri dan memeluknya menyebabkan ia kembali seperti sediakala. — EdisiRakyat.com, 21 Disember 2020

Rujukan:

Post a Comment

أحدث أقدم