Siapakah tiga golongan manusia menurut agama Islam berdasarkan Al-Quran?

BERDASARKAN Firman Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah dari ayat yang pertama sehingga ayat ke 20 terdapat tiga jenis golongan manusia.



Golongan yang pertama adalah orang-orang mukmin, yang kedua orang-orang kafir, manakala yang ketiga ialah golongan munafik atau juga dikenali sebagai golongan orang yang berpura-pura.

Al-Quran

1. Golongan orang mukmin yang berjaya

Di dalam surah Al-Baqarah dari ayat satu hingga lima, Allah menceritakan tentang golongan orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Al-Quran tanpa sebarang keraguan dan mereka ini adalah orang-orang yang sangat beruntung.

Dalam Al-Quran surah Al-Baqarah dari ayat satu hingga lima bermaksud:

[1] Alif, Lam, Mim

[2] Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

[3] iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

[4] Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka benar-benar yakin akan hari akhirat.

[5] mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.


2. Golongan Orang Kafir bakal terima azab seksa yang besar

Manakala di dalam ayat ke 6 sehingga ayat ke 7 surah Al-Baqarah, Allah menceritakan tentang sikap orang kafir yang mana mereka terdiri daripada golongan manusia yang memekakkan telinga dan menutup hati mereka sehingga apa yang dikhabarkan kepada mereka tentang kebenaran Islam tidak akan diterima. Justeru seksaan yang amat berat bakal menanti mereka.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 6 sehingga 7 bermaksud:

[6] Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau (Wahai Muhammad) beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran mereka tidak akan beriman.

[7] (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

3. Golongan Orang Munafik yang menipu diri mereka sendiri

Dalam surah al-baqarah terdapat 13 ayat iaitu dari ayat ke 8 hingga ayat ke 20 yang menceritakan kepada kita tentang golongan orang-orang munafik. Golongan ini mengaku bahawa mereka beriman namun hanyalah untuk menipu Allah dan orang-orang yang beriman.

Golongan munafik suka melakukan banyak kerosakan, namun mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menipu diri mereka sendiri.

Dalam ayat ke 8 hingga ke 20 Surah Al-Baqarah bermaksud:



[8] Dan di antara manusia ada yang berkata: 'kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat,' padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

[9] Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri sedang mereka tidak mengetahui.

[10] Dalam hati mereka (golongan munafik) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki) maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya dengan sebab mereka berdusta."

[11] Dan apabila dikatakan kepada mereka: "janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di bumi," mereka menjawab: "sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan,"

[12] Ketahuilah! bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan tetapi mereka tidak menyedarinya

[13] Dan apabila dikatakan kepada mereka: "berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman," Mereka menjawab: "patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! sesungguhnya mereka orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak menyedarinya.

[14] Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman," dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: "Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman),"

[15] Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

[16] mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk, maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tiada pula mereka beroleh petunjuk hidayah.


[17] Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api, apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah menghilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

[18] Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta, dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

[19] Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat, mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas) sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

[20] Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka, setiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya) mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dalam kebingungan). Dan sekiranya Allah mengkehendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka, Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Post a Comment

أحدث أقدم