PUTRAJAYA, 10 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan pertemuan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg serta kepimpinan tertinggi PETRONAS dan PETROS di Perdana Putra, Putrajaya.
Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni menzahirkan semangat Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak serta syarikat tenaga negara dan negeri.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui sebelum ini dalam masa terdekat.
Langkah ini bertujuan memudahkan rundingan strategik antara PETRONAS dan PETROS demi manfaat bersama.
Kerjasama antara kedua-dua entiti ini dilihat berpotensi besar untuk diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
Antara fokus utama adalah mempercepatkan usaha pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran tenaga serantau.
Perdana Menteri dan YAB Premier Sarawak turut mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit melalui rundingan secara konstruktif, mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan negara.
إرسال تعليق