Tangkap dan siasat 5,000 pengundi meragukan di Wangsa Maju

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menggesa pihak polis menangkap dan menyiasat pihak bertanggungjawab memindahkan sekitar 5,000 pengundi dengan latar belakang meragukan ke Wangsa Maju.


Bendahari parti itu, Datin Dr Tan Yee Kew dilaporkan sebagai berkata, pihak polis tidak boleh melepaskan tanggungjawab dengan hanya menyerahkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


"Jenayah itu dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, ia menjadi tugas polis untuk menyiasat," katanya seperti yang dipetik dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR Petaling Jaya, Selangor.


Datin Dr Tan Yee Kew

Merujuk kepada Seksyen 177 Kanun keseksaan, katanya, adalah menjadi kesalahan jenayah bagi sesiapa yang memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.


PKR telah melakukan tinjauan dari pintu ke pintu tahun lalu dan berjaya mengesahkan seramai 1,429 pengundi yang tidak tinggal dalam alamat didaftarkan pada daftar pemilih.


Katanya lagi, parti itu telah berjaya mengesan seramai 3,500 pengundi lain yang didaftarkan secara berkumpulan seramai lebih lapan orang dalam satu alamat.


The Malaysian Insight melaporkan, ketua polis Daerah Wangsa Maju, Mohammad Roy Suhaimi Sarif memberitahu portal berita itu, sejumlah empat laporan polis telah dibuat oleh mereka yang mewakili PKR telah diserahkan kepada SPR untuk tindakan lanjut.


Namun kata Dr Tan Yee Kew, jawapan pihak polis berhubung perkara itu tidak boleh diterima.


"Selain menahan mereka yang menggunakan alamat palsu untuk mengubah pusat pengundian mereka, pihak yang menjadi dalang pemindahan pengundi besar-besaran ini juga berniat memanipulasi keputusan pilihanraya dan perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya.


Dalam sidang media yang sama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilaporkan berkata pihak polis tidak boleh melengah-lengahkan tindakan apatah lagi pilihan raya umum ke-14 bakal diadakan tidak lama lagi.


"Jika pengkritik Perdana Menteri boleh ditangkap cepat, mengapa ini ambil masa lama," soal Nurul Izzah. 


Tambahnya lagi, mungkin terlalu lambat jika pihak polis menunggu sehingga selepas pilihanraya untuk bertindak.


Dalam pada itu beliau turut menggesa pengundi turun beramai-ramai membuang undi pada PRU14, bagi menghalang cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi pilihanraya.


Pengerusi SPR, Mohd Hashim Abdullah pula dilaporkan berkata, Terpulang kepada pihak polis untuk bertindak mengenai dakwaan pendaftaran pengundi yang diragui itu.


Mohd Hashim mengakui bahawa ia adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) serta peraturan berkaitan di bawahnya.


"Jika diperlukan SPR sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis untuk melakukan siasatan," katanya.


Beliau turut mengesahkan bahawa pihak SPR ada menerima surat dari Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju pada 17 Januari mengenai laporan polis tentang pengundi baharu dengan latarbelakang meragukan kepada SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara. — EdisiRakyat.com, 26 Januari 2018

1 Comments

Post a Comment

Previous Post Next Post