Kaji semula fatwa Syiah terkeluar dari Islam — Mufti

FATWA yang menetapkan bahawa Syiah ajaran yang terkeluar dari Islam perlu dikaji semula. Perkara itu dibangkitkan oleh mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor.

Wan Salim

Kajian semula itu katanya bertujuan mengelakkan anasir adu domba dan eksploitasi kerana perbezaan mazhab oleh umat Islam.

Katanya lagi pengiktirafan terhadap Syiah juga perlu dibuat meskipun terdapat beberapa kumpulan tertentu di dalam mazhab itu yang terkeluar daripada Islam.

"kita tak boleh memutuskan hukum berdasarkan kehendak sendiri Ia mesti dibuat mengikut dalil dan hujah," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian Online.

"Selagi Syiah masih percaya kepada rukun iman maka mereka masih Islam dan perdebatan berkaitan feqah boleh dibuat berdasarkan Iman mereka,"

Beliau dilapor turut mengulas gesaan beberapa pihak untuk membatalkan fatwa yang diwartakan pada tahun 1996 tentang penetapan Syiah sebagai terkeluar daripada Islam.

Menurut Wan Salim, Syiah memang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) namun fahaman itu tidak mewakili umat Islam secara keseluruhannya.

Mengakui cadangan itu boleh menyebabkan ketegangan, kata beliau perkara itu boleh dilaksanakan secara berhemah melalui beberapa siri penjelasan.

"kita faham perkara ini akan wujudkan ketegangan kerana nak harapkan setiap umat Islam setuju dengan semua perkara itu memang mustahil," katanya. — EdisiRakyat.com, 19 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post