NGO Sambut Baik Usaha PM Bangunkan Semula Gaza Bersama Jepun

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) di Malaysia menyambut baik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza melalui kerjasama antara Malaysia dan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Shahrir Azfar Saleh berkata pihaknya memberi sokongan penuh kepada inisiatif Malaysia di bawah pimpinan Anwar dalam usaha mempercepatkan pembangunan di Gaza.

Shahrir berkata GPM akan terus bersama dengan visi Perdana Menteri untuk turut menyumbang dalam pembangunan semula Gaza.

"Sebagai sebuah pertubuhan yang komited terhadap keamanan dan kesejahteraan global, GPM ingin memberikan jaminan untuk terus menyokong proses pemulihan Gaza melalui pelancaran #KempenPulihkanGaza yang telah dimulakan pada 16 Januari 2025," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kempen ini akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek pemulihan kritikal, termasuk pembinaan dan pembaikan rumah, pemulihan institusi pendidikan, serta sokongan perlindungan kepada anak-anak Gaza yang menjadi yatim menerusi Kempen Anak Angkat Gaza GPM.

Selain itu, GPM juga merancang untuk membantu membangunkan semula ekonomi Gaza dalam jangka panjang serta meneruskan bantuan kecemasan lain yang diperlukan.

"GPM percaya bahawa usaha ini bukan sahaja akan memulihkan Gaza dari segi fizikal, tetapi juga memberikan harapan dan kekuatan kepada rakyat Palestin untuk terus bertahan dan membina masa depan yang lebih baik.

"Kami mengajak semua pihak, termasuk rakyat Malaysia dan organisasi masyarakat sivil, untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini," katanya.

Bantuan di Gaza Tidak Sisihkan Kebajikan Rakyat Malaysia

Sementara itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia dalam membantu Gaza.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, kerajaan dan rakyat Malaysia terus memainkan peranan penting dalam mempertahankan keadilan serta hak asasi manusia di peringkat global.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia telah mendapat kepercayaan daripada pelbagai negara, termasuk di Barat, negara-negara Arab, dan rantau Asia, atas ketegasan serta keberanian dalam memperjuangkan keamanan sejagat.

"Dalam konteks konflik di Palestin, Malaysia menunjukkan ketegasannya sebagai pemimpin dalam usaha global untuk perdamaian dan penyelesaian kemanusiaan," katanya.

Pada masa sama, Hasanuddin menolak kritikan bahawa bantuan Malaysia kepada Gaza boleh disamakan dengan peribahasa "anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran".

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Madani konsisten dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia terpelihara menerusi pelbagai inisiatif sosial dan ekonomi.

"YADIM juga yakin bahawa inisiatif bantuan ini tidak bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan kerajaan.

"Dengan kepimpinan bijaksana dan diplomasi yang mantap, Perdana Menteri telah mengukuhkan hubungan strategik dengan kuasa ekonomi besar seperti China dan Jepun, yang turut komited dalam pembangunan semula Palestin," katanya.

MyCorps: Malaysia Perkukuh Komitmen Kemanusiaan

Presiden Alumni MyCorps, Syed Salleh Syed Sulaiman, turut menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Palestin.

Katanya sebagai sebuah jaringan alumni sukarelawan yang berpengalaman dalam misi kemanusiaan antarabangsa, MyCorps akan terus memainkan peranan dalam menggerakkan misi bantuan kemanusiaan, termasuk pengumpulan dana dan penghantaran sukarelawan ke Gaza.

"Kami percaya bahawa usaha Malaysia dalam membantu Gaza bukan sahaja mencerminkan komitmen negara terhadap keamanan global, tetapi juga memperkukuhkan semangat persaudaraan sejagat.

"Sehubungan itu, Alumni MyCorps menyeru semua pihak, termasuk masyarakat awam, badan korporat, dan organisasi masyarakat sivil, untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha murni ini demi pembangunan semula Palestin," katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif pemulihan Gaza, Malaysia turut mengumumkan Projek Bandar Wakaf Malaysia, yang bakal menjadi projek pembangunan pertama seumpamanya di rantau ASEAN.

Bandar Wakaf Malaysia di Gaza akan dibangunkan dengan anggaran kos RM120 juta dan melibatkan pelbagai komponen pembangunan.
Antaranya 14 blok pangsapuri wakaf yang mewakili semua negeri di Malaysia, Masjid Berkembar Shah Alam, Sekolah Malaysia Gaza dan Hospital Malaysia Gaza.

Turut dibangunkan adalah menara tangki air dan sistem bekalan air bersih pusat perniagaan dan ekonomi serta dapur komuniti untuk rakyat Gaza

Projek ini bukan sekadar simbol solidariti Malaysia terhadap Palestin tetapi juga langkah jangka panjang bagi memastikan pembangunan yang mampan di Gaza pasca perang. — EdisiRakyat.com, 1 Feb 2025

Post a Comment

Previous Post Next Post