Malaysia Tidak ‘Mengalah’ dengan AS, Diplomasi Seimbang Beri Manfaat Nyata

KUALA LUMPUR, 28 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Malaysia “mengalah” kepada Amerika Syarikat susulan pemeteraian perjanjian perdagangan baharu kedua-dua negara.

Beliau berkata, meskipun perjanjian itu dilihat lebih menguntungkan AS, ia tidak sekali-kali menghalang Malaysia daripada menjalinkan kerjasama perdagangan dengan China, Rusia atau mana-mana negara lain.

“Mereka mahu bincang rare earth, semikonduktor, maritim… kita runding. Tetapi adakah ia menghalang hubungan kita dengan China? Tidak. Kalau kita takut Amerika, mana mungkin kita menandatangani naik taraf FTA ASEAN–China 3.0 sehari selepas Trump pulang,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa hubungan erat dengan AS tidak menjejaskan pendirian Malaysia mengenai isu Gaza. Beliau berkata, isu penindasan terhadap rakyat Palestin terus dibangkitkan secara tegas dalam pertemuan peribadi bersama Presiden Donald Trump, termasuk perbincangan empat mata.

“Kita boleh menjerit di sini, tetapi orang mati di Gaza. Dengan campur tangan Amerika, sekurang-kurangnya serangan dihentikan dan penaklukan Tebing Barat dilarang. Tidak sempurna, tetapi ada hasil,” jelasnya.

Beliau turut kesal dengan pihak yang mempolitikkan isu tersebut, sedangkan Malaysia konsisten membawa suara rakyat Gaza di setiap sidang dan mesyuarat antarabangsa.

“Tak perlu sokong saya, tetapi sokong pendirian Malaysia. Kita tekankan penyelesaian komprehensif – termasuk pengiktirafan negara Palestin – di hadapan Donald Trump sendiri,” katanya.

Anwar menyampaikan kenyataan itu dalam sidang media khas penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. Edisi Rakyat.com

Post a Comment

أحدث أقدم