KUALA LUMPUR, 15 Okt - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai supaya bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak berkongsi, memuat naik atau menghantar semula sebarang kandungan berkaitan insiden tragis yang melibatkan kematian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
MCMC turut
menasihatkan supaya orang ramai tidak menularkan gambar atau video yang
memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian, bagi menghormati privasi
pihak terlibat dan mengelakkan sebarang implikasi kepada siasatan.
Dalam
kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, MCMC menegaskan bahawa mana-mana
kandungan yang sudah dimuat naik harus segera dipadam.
“Perbuatan
menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja mencabul privasi dan maruah
keluarga, malah boleh menjejaskan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“MCMC juga
mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang
mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 (Akta 588),” jelas kenyataan itu.
Pada masa
sama, MCMC merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengharapkan
mereka tabah menghadapi ujian tersebut.

إرسال تعليق