MCMC PEROLEH INJUNKSI HALANG PENYIARAN KANDUNGAN MUDARAT DI TELEGRAM, SALURAN “EDISI SIASAT” DAN “EDISI KHAS”

CYBERJAYA, 31 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh Injunksi Erinford daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tindakan sivil terhadap platform Telegram, sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori di Mahkamah Rayuan.

Keputusan mahkamah itu menandakan perkembangan penting dalam usaha berterusan MCMC memastikan ruang digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan mematuhi kepentingan awam.


Melalui perintah tersebut, mahkamah membenarkan injunksi bagi menghalang penyiaran kandungan memudaratkan seperti yang dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan MCMC, termasuk sebarang kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa. Mahkamah turut mengarahkan penutupan sepenuhnya saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”, selain mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi.

Perintah ini bertujuan mengekang penyebaran kandungan palsu, mengelirukan, menghasut serta bahan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam melalui saluran-saluran di platform tersebut.

Dalam penghakimannya, mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi. Keseimbangan keadilan, menurut mahkamah, jelas memihak kepada MCMC memandangkan potensi kemudaratan kepada negara dan ketenteraman awam adalah jauh lebih besar berbanding implikasi terhadap Telegram.

Mahkamah turut mengingatkan bahawa penyedia platform luar negara seperti Telegram perlu sentiasa peka dan menghormati konteks sosial serta perlembagaan Malaysia, walaupun mungkin tidak sepenuhnya memahami struktur masyarakat tempatan.

Keputusan ini sekali lagi memperkukuh peranan MCMC dalam melindungi ekosistem digital negara daripada kandungan yang memudaratkan serta mengancam keselamatan awam.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

أحدث أقدم