MCMC Siasat Aduan Liputan di Sibu, Sahkan Rangkaian Stabil Kecuali Gangguan Sementara Akibat Insiden Bekalan Elektrik

CYBERJAYA, 6 Nov - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum aduan orang awam mengenai kualiti perkhidmatan komunikasi mudah alih di sekitar bandar Sibu, Sarawak, termasuk isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sibu dalam sesi Parlimen baru-baru ini.


Susulan aduan tersebut, MCMC melaksanakan ujian liputan rangkaian di beberapa kawasan tumpuan seperti Jalan Pulau, Jalan Merdeka dan Sungai Bidut. Hasil penilaian menunjukkan bahawa prestasi rangkaian mudah alih di lokasi terlibat berada pada tahap baik dan stabil, dengan kelajuan muat turun dan muat naik yang memuaskan bagi semua penyedia perkhidmatan utama.

Bagaimanapun, siasatan mendapati gangguan sementara telah berlaku pada 1 November 2025 ekoran insiden bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang di salah satu menara telekomunikasi utama di kawasan Sri Aman. Kejadian itu menjejaskan sambungan antara menara di kawasan tengah hingga utara Sarawak, termasuk bandar Sibu. Perkhidmatan rangkaian dipulihkan secara berperingkat antara jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari sama.

Sepanjang tahun 2025, MCMC telah menjalankan 61 audit rangkaian di daerah Sibu dan mengeluarkan 16 notis penambahbaikan kepada penyedia perkhidmatan yang didapati tidak memenuhi piawaian prestasi. Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan MCMC dalam memastikan kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan komunikasi kekal berada pada tahap optimum.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

أحدث أقدم