BAKU, 17 Nov - Malaysia kekal sebagai antara negara yang menawarkan kadar internet termurah di dunia bagi setiap gigabait, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses digital yang inklusif dan mampu milik untuk rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu seiring dengan kejayaan negara melaksanakan rangkaian 5G dalam tempoh yang singkat, menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki rangkaian 5G terpantas di Asia Tenggara dan kedua terpantas di rantau Asia Pasifik selepas Korea Selatan.
Menurut beliau, Malaysia kini berada dalam kelompok 10 negara teratas dunia yang menawarkan kadar Internet sekitar dua sen bagi setiap gigabait, hasil kerjasama strategik serta kesepakatan industri telekomunikasi yang sebelum ini jarang dapat dicapai.
“Kita kini melihat syarikat-syarikat telekomunikasi duduk semeja dan mencapai konsensus demi kepentingan rakyat serta pembangunan digital negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Diaspora Malaysia di Rumah Malaysia, pada Ahad.
Fahmi berada di Azerbaijan dari 16 hingga 19 November bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25).
Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam persidangan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan negara untuk mengekalkan kedudukan dalam Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027 hingga 2030, susulan pengumuman pencalonan semula Malaysia ke majlis tersebut pada Julai lalu.
Dalam pada itu, Fahmi turut berkongsi kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung pada Oktober lalu, yang menurutnya telah memperkukuh imej dan kredibiliti Malaysia serta ASEAN di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini telah mengubah persepsi dunia bukan sahaja terhadap Malaysia, malah terhadap ASEAN sebagai sebuah rantau dengan kekuatan ekonomi dan diplomatik yang signifikan, melibatkan lebih 660 juta penduduk,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa masa depan ASEAN adalah cerah sekiranya negara-negara anggota terus mengekalkan perpaduan, membina komuniti serantau yang kukuh serta memastikan keamanan dan kestabilan berterusan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza.— Edisi Rakyat.com

إرسال تعليق