Sambutan Rasmi, Forum Perniagaan dan Pertemuan Dua Hala Warnai Hari Kedua Lawatan PM Anwar di Addis Ababa

ADDIS ABABA, 19 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengisi hari kedua lawatan rasmi beliau ke Ethiopia dengan rangkaian agenda utama merangkumi sambutan rasmi, forum perniagaan serta pertemuan dua hala bagi memperkukuh hubungan Malaysia–Ethiopia.

Perdana Menteri akan memulakan agenda hari ini dengan kunjungan ke Muzium Peringatan Kemenangan Adwa, sebuah mercu tanda kebudayaan ikonik yang memperingati kemenangan bersejarah Ethiopia dalam Pertempuran Adwa pada 1896, yang menjadi simbol kebebasan Afrika serta pemerkasaan masyarakat kulit hitam.

Bangunan berkenaan bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung, malah sering menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara kebangsaan yang menzahirkan nilai diplomasi, keberanian, perpaduan dan kebanggaan nasional rakyat Ethiopia.

Seterusnya, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske Selassie di Pusat Konvensyen Antarabangsa Addis sebelum menghadiri Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–Ethiopia. Anwar yang juga Menteri Kewangan akan turut mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan bagi meneroka potensi kerjasama ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri juga akan dibawa melawat Istana Negara Ethiopia yang memaparkan sejarah dan budaya negara itu, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali.

Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama dalam bidang kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara serta MoU kerjasama pelancongan.

Turut dimuktamadkan ialah dokumen kolaborasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pentadbir Bandar Raya Addis Ababa bagi mewujudkan mekanisme dialog strategik berterusan serta membuka ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua bandar raya.

Anwar dan Abiy Ahmed kemudiannya dijadual mengadakan sidang media bersama sebelum agenda hari kedua diakhiri dengan majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Perdana Menteri Ethiopia.

Lawatan ini merupakan lawatan sulung Anwar ke Ethiopia dan sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh hubungan dengan benua Afrika menerusi ibu pejabat Kesatuan Afrika yang berpusat di Addis Ababa.

Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 dan dianggotai 55 negara memainkan peranan penting sebagai suara kolektif benua Afrika di peringkat global, termasuk dalam menggalakkan kerjasama antarabangsa.

Lawatan rasmi selama tiga hari ini juga merupakan lawatan balas susulan kunjungan rasmi Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober 2024, selain bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia–Ethiopia yang terjalin sejak Januari 1965.

Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

Ethiopia, negara terkurung daratan dengan jumlah penduduk terbesar di dunia, merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023 dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar dalam rangka lawatan beliau ke benua berkenaan.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan bermula 20 hingga 23 Nov bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum meneruskan lawatan ke Nairobi, Kenya pada 23 hingga 24 Nov, dan seterusnya berlepas pulang ke tanah air.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

أحدث أقدم