Malaysia Teroka Kerjasama Telekomunikasi dan Keselamatan Dalam Talian Bersama India, Iran

BAKU, 18 Nov - Malaysia sedang meneliti peluang kerjasama strategik dengan India dan Iran dalam bidang telekomunikasi, khususnya melibatkan aspek keselamatan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam beberapa mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari India, Dr Chandra Sekhar Pemmasani, dan dari Iran, Sattar Hashemi, yang berlangsung di luar Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25).

Menurut Fahmi, pengalaman kedua-dua negara dalam menangani isu telekomunikasi di peringkat domestik membuka ruang kerjasama yang berpotensi untuk dimanfaatkan bersama Malaysia.

“Saya melihat terdapat beberapa peluang yang boleh kita usahakan bersama, khususnya berdasarkan pengalaman mereka menangani isu penipuan dalam talian, keselamatan siber serta pembangunan aplikasi telekomunikasi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat dua hala itu turut disertai Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin serta Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi Ahmad Norhad Zahari.

Fahmi berkata, hubungan baik Malaysia dengan India dan Iran akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong pembangunan sektor telekomunikasi negara, selari dengan aspirasi untuk memperkukuh infrastruktur digital serta keselamatan dalam talian.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang telekomunikasi antara Malaysia dan Iran kini sedang dirangka dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“MoU tersebut kini dalam proses penelitian di peringkat kementerian dan saya percaya dalam tempoh yang tidak terlalu lama, kita akan bersedia untuk memeterai perjanjian berkenaan,” katanya.

Menurut Fahmi, Malaysia ketika ini sudah mempunyai MoU sedia ada dengan India, dan kerjasama tersebut akan terus diperkukuh, selain meneroka pendekatan baharu dengan negara seperti Iran yang mempunyai cabaran telekomunikasi tersendiri.

Dalam pertemuan itu juga, beliau memaklumkan kepada kedua-dua rakan sejawatnya mengenai hasrat Malaysia untuk mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada November 2026.

“Penglibatan Malaysia dalam Majlis ITU bukan sahaja membolehkan kita menyuarakan pandangan berkaitan isu piawaian, telekomunikasi dan 5G, malah berkongsi pengalaman negara dalam memperluaskan capaian Internet ke kawasan luar bandar dan pedalaman melalui inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

أحدث أقدم