Anwar Ibrahim disekat masuk ke Jepun kerana hukuman penjara 1999 — Kedutaan Jepun

KEDUTAAN Jepun mengesahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim disekat daripada memasuki Jepun pada hari Ahad disebabkan sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya pada tahun 1999, 

Jurucakap kedutaan negara itu, Tomoko Nagai dilaporkan sebagai berkata, sesiapa yang pernah disabitkan bersalah di Jepun atau mana-mana negara dan pernah melalui hukuman penjara setahun ataupun lebih akan disekat daripada memasuki negara itu.

"Apa yang kami tahu, Anwar dibenarkan masuk ke Jepun pada 2011 dan 2012 namun, pada waktu itu beliau mempunyai kebenaran istimewa.

"Bagaimanapun kali ini, beliau tidak memohon kebenaran istimewa, sebab itulah tidak dibenarkan masuk," katanya lagi dalam satu panggilan telefon Selasa lalu seperti yang dilaporkan oleh The Star.

Nagai turut dilapor menjelaskan bahawa tindakan itu mengikut undang-undang di bawah Akta Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Pelarian Jepun, di mana ia tertakluk kepada mana-mana individu yang pernah disabitkan kesalahan dan mahu memasuki negara itu. 

Ahad lalu, Anwar Ibrahim disekat daripada memasuki Jepun semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6:45 am.

Beliau diarah untuk segera pulang ke negara asal melalui penerbangan seterusnya atau berdepan dengan penghantaran pulang — EdisiRakyat.com 

Post a Comment

Previous Post Next Post