Mengapa saya menyokong rencana Kajang? — Dr Dzulkefly Ahmad


"RENCANA KAJANG" adalah sangat rumit untuk diringkaskan namun saya akan cuba membuat penerangan dan kalau baik menjadi pencerahan dan kalau tidak menambah keharuan.

Saya sedar dengan pelbagai risiko dikecam, paling tidaknya sebagai 'apologist' PKR. Demi misi perjuangan yang disepakati – 'Menegakkan Kebenaran dan Keadilan serta Meruntuhkan Kebatilan serta Kemungkaran,' saya teruskan.

"Rencana Kajang" (RK) adalah cetusan pemikiran sekumpulan 'think-tankers' bagi mendepani cabaran situasi yang kian menekan Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

Walau saya tidak sebahagian dari team itu dan rasa 'terkilan' tidak dilibatkan bersama 'mencetuskannya', saya cuba secara objektif menilainya kini.

Ada yang cuba menyifatkan dan membandingkannya dengan 'precedent' politik terdahulu seumpama dalam kes perletakkan jawatan seorang Menteri Umno-BN (Ahli Parlimen) untuk bertanding kerusi DUN bagi laluan untuk diangkat menjadi MB.

RK tentunya mempunyai perhitungan yang berbeza dan punya kelainan latarbelakang dan tidak perlu mengambil insiden terdahulu sebagai 'precedent'.

Mungkin sebab ada yang membaca tindakan politik ini hanya dalam ruang-lingkup cakupan "Real Politik" sahaja, maka ada membuat rumusan bahawa ia salah kerana sebab menghabiskan wang rakyat dan merugikan rakyat. Penulis mahu berbeza pandangan.

Penulis mahu mengungkapkan RK sebagai satu 'Forward Defence' atau satu 'Pre-Emptive Attack' dalam bahasa strategi, apabila jelas bacaan politik seluruhnya (terdahulu, terkini dan mendatang) mengisyaratkan satu unjuran (prognosis) yang mengancam dan menggugah keutuhan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Bagi penulis, kemuncak tujuan atau 'Matlamat Strategik' RK ialah: Satu pendekatan bagi mempastikan bukan sahaja negeri Selangor dapat 'Menangkis Serangan' seterunya bahkan akan terus dilonjakkan menjadi 'Negeri Pelopor dalam Persekutun Malaysia" atau "The Leading State of the Federation".

Grafik-Selangor-PakatanDari kedudukan Selangor sebagai 'Iconic State' atau 'Negeri Ikon atau Negeri Contoh', Pakatan terus mahu diberi 'mandat rakyat' mengurus Putrajaya sebagaimana Pakatan mentadbir Selangor.

Maka kecemerlangan Selangor akan menjadi hujjah dan bukti bahawa Pakatan bersedia untuk kini mengangkat negara pula supaya berada dalam "Liga Negara yang dihormati dan Maju".

Penulis secara ilmiah mahu melihat 'Rencana Kajang' ini dari perspektif "Political Islam" dan 'Siyasah Syar'iah'- (bukan sekadar langkah rencana 'Real Politik').

Dalam bahasa 'Fiqhus Siaysah'nya, ia adalah 'bacaan politik menyeluruh' (Al-Istikraq) yang lantas menuntut, antara lain, supaya diambil tindakan yang bersifat "Menutup pintu-pintu Kemudharatan" (Sadda Dzari'ah) yang terkadangkali membawa kepada risiko sebaliknya, yakni " Membuka Pintu-Pintu Kemudharatan (Fathul Dzari'ah)". Namun ia wajar diharungi bagi kemaslahatan yang lebih besar.

Penulis mengandaikan pembaca memahami serta mengikuti bagaimana seteru atau lawan politik telah pun dan terus akan menyerang negeri ini dengan pelbagai kaedah dan penjuru. Pertentangan agama atas isu Kalimah Allah semakin sengit dan api perkauman saja ditiupkan oleh unsur-unsur ekstremis dan pelampau.

Mereka tidak segan silu mengheret institusi Sultan meskipun pun semua warga tahu bahawa negara mengamalkan "Raja Berperlembagaan".

Isu-isu yang lain seperti isu migrasi air dan pentadbiran serta tata-kelola juga perlu ditangani secara berkesan supaya tidak dapat dibolosi anasir 'subversion'.

Penulis tidak mengunjur senario yang lebih buruk kerana akan dituduh mengambil mengambil pendeketan 'Alarmist' (Gempak) bagi menjustifikasi Rencana Kajang ini.

Dalam bahasa mudahnya, RK adalah strategi yang terpaksa diambil bagi sesuatu Kemaslahatan Perjuangan yang disepakati mampu menyampaikan kepada Matlamat Strategik di atas. Laluannya (Maslak) ialah Kajang yang sekaligus merupakan 'Faktor Kritikal Kejayaan' atau "Critical Success Factor" (CSF) dalam menjayakan rencana ini.

Apakah semudah itu? Tentunya tidak! Risikonya besar dan bukan kepalang. Dalam bahasa Pelaburan.. "Risiko Besar, Pulangan Besar" atau 'High Risk High Return'. Tidak sukar menjangka bahawa seteru politik Pakatan akan merancang pelbagai 'strategi' bagi menggagalkan rencana ini.

Maka cakap-cakap tentang kerugian wang rakyat mesti diimbangi dengan 'laba' yang lebih lumayan seandainya RK berjaya dilaksanakan. Pulangannya pula melampaui hanya garis 'kebendaan' tetapi melepasi tuntutan terhadap 'Quality of Life' atau 'Kualiti Kehidupan' yang lebih baik dan bermaruah.

Seperkara tentang penjelasan isu. Benar perang 'Khalid-Azmin' sudah tidak boleh disorok lagi. Menjustifikasi "Rencana Kajang" sebagai kaedah penyelesaian adalah amat tidak wajar dan mungkin juga tidak tepat. PAS (dan DAP) akan pasti menolak kalau kesemua ini hanyalah untuk memenangkan satu-satu pihak.

Dengan kata lain juga PAS akan juga awal-awalnya menolak rencana ini, andainya itu sahaja Kepentingan (Maslahah) yang hendak dicapai atau itu sahaja kemudaratan yang hendak ditangkis kerana tidak setimpal dengan 'risiko berat' atau kemudaratnnya (Mafasid) yang bakal diterima bagi menjayakan rencana ini termasuk berlaku krisis pentadbiran.

Sebabnya jelas kerana 'Qawaid Fiqhiyah' menegaskan "Menolak Kemudaratan adalah lebih awla (penting) dari Mengambil Kepentingan". Kemudaratan besar yang mahu ditolak adalah 'Menolak dan 'Menangkis Serangan' dari seteru.

Namun perlu dipastikan tindakan ini tidak mencetuskan kemudharatan yang lebih besar yakni seumpama berlaku krisis kepimpinan di mana undang-undang tubuh negeri akan digantung. Kesemua itu mesti digarap dalam satu derap-langkah yag bersepadu.

Wajar juga diingatkan bahawa RK harus direalisasikan kerana Kemaslahatan yang hendak dicapai yakni di segi "Matlamat Strategik", membina 'Negeri Contoh' dengan memperkukuhkan gandingan kepimpinan ekonomi Tan Sri Khalid Ibrahim – akumen politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu mewajarkan dan mengharuskan Rencana Kajang ini digerakkan dengan membuka laluan mendepani risiko – "Fathul Dzari'ah. Jangan lupa akan kekuatan pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain.

Inilah metodologi atau laluan (maslak) pemikiran "Al-Istishraaf Al-Istiqbaly" (Futuristic Thinking – Menerobos Realiti Kedepan) yang sangat dihajati oleh pemikir pemikir "Political Islam". Ia berlawanan dengan realiti Gerakan Islam yang sentiasa terperangkap dalam jajaran bertindak secara Infi'ali atau "Reaksionari".

Bertindak bagi membangunkan 'dua kepentingan utama' yang diijtihadkan oleh Syeikh Tahir bin Ashur yang menghuraikan karya agung 'Al-Muwafaqat' karangan Imam al-Shatibi yakni 'Al-'Adalah wa Al-Hurriyyah'atau 'Keadilan dan Kebebasan' adalah pendekatan "Maqasidiy" yang perlu dipelopori oleh Gerakan Islam Kontemporari. Pakatan Rakyat adalah pengalaman (tajribah) wadah PAS selaku Gerakan Islam dalam Tahaaluf Siyasi atau 'Politik Koalisi'.

Mengingatkan bahawa lima Kemestian Utama (Dhorruriyah Al-Khmsah) dalam Maqasid Syar'iyah yakni menjaga Agama, Aqal, Nyawa, Keturunan dan Harta-Benda kini ditambah dengan kepentingan Keadilan dan Kebebasan menjadikan Gerakan Islam lebih komprehensif dan menyeluruh lagi dalam persaingan global ini. Penulis mahukan ini sekaligus digarap dalam agenda RK.

Maka tindakan 'Rencana Kajang' mesti keluar dari paradigma persaingan 'kepompong pemikiran lama' yang mengheret Pakatan kepada 'Politik Longkang dan Jelek' (Gutter Politics).

Penulis mahukan PAS/Pakatan Rakyat khasnya untuk membawa negara ke arah satu Politik Baru yang lebih 'Bersih dan Adil' supaya benar-benar dapat menjayakan 'Agenda Islah' (Penambahbaikan) serta mengangkat "Karamah Insaniyyah" (Kemuliaan Manusiawi) yang sebenarnya.

Meskipun tidak diminta dan mungkin juga tidak berapa diperkenan pelbagai pihak, namun inilah pandangan penulis yang menjadikan beliau sangat teruja dan sangat bersemangat dengan 'Rencana Kajang' ini. Kalau ada yang berpandangan penulis "apologist" kepada rencana PKR atau sesiapa pun, tuduhan itu sangat malang dan meleset.

Dalam erti dan maksud itu juga, Penulis dalam Forum"Kajang Move" di Empire Hotel, Subang Jaya, bersama panelis lain termasuk Pengarah Strategik PKR, YB Rafizi dan YB Tony Pua menegaskan bahawa 'Rencana Kajang adalah Laluan Strategik Pakatan Rakyat Ke Putrajaya'!

Maka adalah sangat tepat bagi Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa jentera parti bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat, Datuk seri Anwar Ibrahim.

* Dr Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat


Post a Comment

Previous Post Next Post