Muhyiddin mahu pembinaan sekolah menengah di Balingian dilulus segera

TAN Sri Muhyiddin Yassin mahu Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri menyegerakan proses kelulusan untuk membina sebuah sekolah menengah di Balingian, Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan projek yang dianggarkan bernilai RM60 juta ini sudahpun dikemukakan untuk pertimbangan UPE tetapi masih belum mendapat kelulusan.


"Sebagai Menteri Pendidikan, saya akan meminta supaya projek ini disegerakan bagi menampung keperluan pendidikan di sini," katanya semasa berucap di majlis perasmian Jambatan Batang Balingian, kira-kira 60km dari sini.

Menurutnya cadangan projek ini melibatkan antara lain pembinaan 25 buah bilik darjah dan asrama bagi menampung 800 pelajar.

Katanya buat masa ini, pelajar-pelajar di Balingian terpaksa bersekolah di dua buah sekolah menengah di bandar Mukah, yang terletak agak jauh dari Balingian.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Muhyiddin berkata beliau juga mahu UPE menyegerakan kerja-kerja pembinaan bangunan Sekolah Kebangsaan Tellian di bandar Mukah.

Katanya Kementerian Pendidikan perlu mendapat persetujuan bersama dengan UPE untuk projek-projek dengan anggaran kos yang agak besar.

Menurutnya kos pembinaan sekolah di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi dan ada kalanya sehingga dua kali ganda berbanding di Semenanjung Malaysia.

Beliau menjangkakan jika sudah memperoleh kelulusan UPE, kerja-kerja pembinaan kedua-dua sekolah ini dapat dimulakan seawal tahun depan.

"Kerajaan Negeri Sarawak sudahpun meluluskan tapak untuk kedua-dua sekolah ini dan kita akan melantik juruperunding untuk memulakan projek ini," katanya — BERNAMA


Post a Comment

Previous Post Next Post