Video lelaki tampar warga emas jadi berita antarabangsa

SEBUAH video yang kecoh baru-baru ini memaparkan seorang lelaki dipercayai pemilik pusat jagaan warga emas di Melaka menampar seorang warga emas jagaannya turut mendapat liputan portal antarabangsa metro.co.uk.

Menurut portal berita berpengaruh yang berpengkalan di London itu, video tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai di media sosial dan telah mendapat lebih 5 juta tontonan (views).

Bagaimanapun, portal itu tidak dapat memastikan sama ada video yang menjadi viral itu berasal daripada Malaysia kerana segelintir mendakwa ia dirakamkan di Taiwan.




Sumber berita tempatan melaporkan sebelum ini, lelaki yang dirakam dalam video tersebut telah didenda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka akibat rakaman aksinya menampar seorang warga emas yang mencetuskan viral di media sosial baru-baru ini.

M Seghar, 56 dijatuhkan hukuman tersebut oleh Hakim Majistret Analia Kamaruddin selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca terhadapnya.

Dua pertuduhan dikenakan terhadapnya, pertama dia didakwa tidak mendaftarkan pusat jagaan miliknya di Jalan Klebang Melaka secara sah sejak 2003.

Bagi pertuduhan itu, Seghar didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pusat Jagaan 1993 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang warga emas berusia 75 tahun dengan menggunakan tangan.

Kesalahan itu dipercayai dilakukan di sebuah rumah jagaan warga emas di Jalan Klebang Besar pada kira-kira jam 3 petang 18 Ogos 2016. Kesalahan di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seghar yang tidak diwakili oleh peguam dikenakan hukuman RM2,000 bagi setiap pertuduhan. — EdisiRakyat.com, 11 Oktober 2016



Previous Post Next Post