Datuk Seri Jamal Yunos dan penyokongnya didakwa di mahkamah

KETUA pemimpin gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan sembilan penyokongnya telah didakwa khamis lalu di Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan merusuh dan mengganggu keamanan tahun lepas.



Antara sembilan penyokong yang didakwa bersamanya adalah Reza Jamin, Ariffin Abu Bakar, Mohd Shabudin Abu Hassan, Izzrul Idris, Hasannen Zikri Harizan, Mohd Faiz Amirul Mahsan, Mohd Yusoff Mohd Sharif, Abd Razak Hassan dan R. Balaguru.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Mereka yang diwakili peguam Izzat Zabir Sariff dan Khairul Anuar Yusoff mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed .

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad, yang mengetuai pasukan pendakwaan, mencadangkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Hakim Rushan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 3 Mei.

Pada 13 Nov tahun lepas, Jamal mengalami pendarahan di hidung apabila berlaku pergelutan antara kumpulan Baju Merah dan polis ketika rusuhan berlaku.

Mengikut laporan The Star, ketika kejadian, ketua pemimpin gerakan baju merah dan penyokongnya didakwa mengikuti MP Ampang YBZuraida Kamaruddin dari PKR dan kumpulan penyokong Bersih dan dikatakan mengejek mereka sebagai kumpulan LGBT.

Kumpulan baju merah berkumpul di luar pusat membeli belah Ampang Point sekitar jam 3 petang untuk mengganggu penyokong Bersih apabila Jamal didakwa mengganggu seorang lelaki yang memakai baju Bersih sebelum polis campur tangan.

Berlaku pergelutan di antara polis dan kumpulan Baju Merah dan berakhir dengan dua orang ahli ditangkap dan Jamal mengalami pendarahan di hidungnya.

Beliau kemudian membuat kenyataan mendakwa beliau ditumbuk oleh salah seorang lelaki yang merupakan salah seorang penyokong YB Zuraida walaupun penyokong Bersih telah meninggalkan tempat kejadian pada masa pergelutan tercetus.— EdisiRakyat.com, 13 April 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post